Malaysia lonjak 8 anak tangga WCR 2026, bukti asas ekonomi semakin kukuh

KUALA LUMPUR – Peningkatan kedudukan Malaysia daripada tangga ke-23 pada tahun 2025 kepada tangga ke-15 dalam IMD World Competitiveness Ranking (WCR) 2026 disifatkan sebagai satu pencapaian yang amat membanggakan dan mencerminkan pengukuhan asas ekonomi negara di peringkat antarabangsa.

Pensyarah Fakulti Ekonomi Universiti Malaya, Mohammad Abdul Hamid, berkata lonjakan sebanyak lapan anak tangga itu bukan sahaja meletakkan Malaysia sebagai antara ekonomi paling kompetitif di rantau ASEAN, malah membuktikan keberkesanan dasar dan langkah pemulihan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut beliau, pencapaian tersebut menjadi petunjuk penting bahawa Malaysia berada di landasan yang tepat dalam memperkukuh daya saing ekonomi negara meskipun berdepan pelbagai cabaran global termasuk ketidaktentuan geopolitik, tekanan inflasi dan gangguan rantaian bekalan antarabangsa.

“Peningkatan yang dicatatkan dalam IMD World Competitiveness Ranking 2026 merupakan satu pencapaian yang sangat memberangsangkan. Lonjakan lapan anak tangga ini menunjukkan keyakinan pelabur dan komuniti perniagaan antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia untuk terus berkembang dalam suasana ekonomi global yang mencabar.

“Ia juga menggambarkan bahawa usaha yang dilaksanakan oleh pucuk pimpinan negara berjaya mewujudkan kestabilan ekonomi serta memperkukuhkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan negara,” katanya ketika ditemui oleh wartawan The Malaysia Press hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa indeks yang diterbitkan oleh International Institute for Management Development (IMD) itu merupakan antara penanda aras paling berwibawa dalam mengukur daya saing sesebuah negara kerana mengambil kira empat komponen utama iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan pembangunan infrastruktur.

Katanya, peningkatan kedudukan Malaysia dalam kesemua aspek tersebut menunjukkan bahawa negara bukan sahaja berjaya mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi, malah semakin diyakini sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dan berdaya tahan.

Dalam pada itu, Mohammad berpandangan pencapaian tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai destinasi akhir, sebaliknya perlu dijadikan pemangkin untuk mempercepatkan reformasi struktur ekonomi negara bagi memastikan Malaysia mampu mengekalkan momentum daya saing dalam jangka panjang.

Beliau berkata kejayaan itu memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, sektor swasta, institusi pengajian tinggi dan organisasi masyarakat sivil bagi membangunkan ekosistem ekonomi yang lebih produktif, inovatif dan mampan.

“Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan pencapaian ini dapat diterjemahkan kepada manfaat yang lebih besar kepada rakyat dan ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya.

Mengulas langkah yang perlu diberikan keutamaan selepas ini, beliau menekankan lima agenda utama yang mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai ekonomi berdaya saing di peringkat global.

Antaranya ialah meningkatkan produktiviti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang masih berhadapan cabaran dari segi penggunaan teknologi dan kecekapan operasi, selain memperluaskan program peningkatan kemahiran (upskilling) serta latihan semula (reskilling) bagi melahirkan tenaga kerja yang lebih mahir dan berproduktiviti tinggi.

Beliau turut menekankan kepentingan membangunkan ekosistem inovasi yang lebih kondusif melalui kerjasama erat antara industri dan institusi pengajian tinggi bagi mempercepatkan proses pengkomersialan hasil penyelidikan serta teknologi tempatan.

Selain itu, pelaksanaan dasar upah wajar dan gaji progresif perlu terus diperkukuh bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih inklusif selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI.

Dalam masa yang sama, pembangunan teknologi tempatan dalam sektor strategik seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, keterjaminan makanan dan tenaga boleh diperbaharui perlu dipergiatkan bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap teknologi asing.

Menurut Mohammad, kejayaan Malaysia dalam IMD WCR 2026 membuktikan negara memiliki asas yang kukuh untuk terus bergerak ke hadapan, namun usaha memperkasakan produktiviti, inovasi dan pembangunan modal insan perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan negara kekal kompetitif dalam era ekonomi global yang semakin mencabar.

Related Posts

Sektor kesihatan perlu dilihat sebagai strategi ekonomi

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu melihat sektor kesihatan sebagai strategi ekonomi negara, bukan sekadar soal rawatan, berikutan peningkatan jumlah penduduk warga emas dan kos perubatan semakin tinggi. Timbalan Menteri Ekonomi,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Ketelusan tawaran gaji sedang dikaji Kementerian Ekonomi

KUALA LUMPUR – Kementerian Ekonomi sedia meneliti mekanisme baharu bagi meningkatkan ketelusan tawaran gaji bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara diterjemahkan kepada pulangan yang lebih adil kepada pekerja. Menteri Ekonomi, Akmal…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sabah jadi tuan rumah Mesyuarat MTPMA63 di SICC

  • By Ithma
  • September 10, 2026
Sabah jadi tuan rumah Mesyuarat MTPMA63 di SICC

Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

Perdana Menteri disaran jawab dakwaan, isu integriti kerajaan

Perdana Menteri disaran jawab dakwaan, isu integriti kerajaan

Semangat PAU 2026 jadi pencetus kekuatan jentera parti hadapi pilihan raya

Semangat PAU 2026 jadi pencetus kekuatan jentera parti hadapi pilihan raya

Akmal Saleh sedia ‘berperang’ lawan PH di PRN Melaka 

Akmal Saleh sedia ‘berperang’ lawan PH di PRN Melaka 

Wanita perlu diberi ruang lebih besar bantu UMNO bangkit semula

Wanita perlu diberi ruang lebih besar bantu UMNO bangkit semula