
LAHAD DATU – Tiada lagi pencerobohan kali kedua dan sifar penculikan atau ‘Kidnap For Ransom’ (KFR) merupakan dua misi utama Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap Zon Selamat Timur Sabah (ESS Zone).
Demikian amanat Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos kepada seluruh warga kerja itu dalam Majlis Perhimpunan ESSCOM bersempena dengan Pelancaran Logo dan Bendera ESSCOM serta Peta ESS Zone yang baharu pada Isnin.
“Semoga penjenamaan ini akan menyemarakkan lagi semangat seluruh warga ESSCOM dalam merealisasikan dua misi utama itu tadi seterusnya menjadikan ESS Zone sebagai tempat yang selamat dan sejahtera.
“Justifikasi penjenamaan ESSCOM dan ESS Zone ini penting bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan di ESS Zone bertujuan membangunkan sosioekonomi di pantai Timur Sabah,” katanya dalam di sini dalam satu kenyataan.
Sebagai rekod, penjenamaan itu telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama ESS Zone yang dipengerusikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada 25 Julai lepas.
Pada majlis sama, sistem e-Keanggotaan ESSCOM dan e-Demografi ESS Zone secara ‘in-house’ turut dilancarkan bagi memudahkan urusan kerja seharian warga ESSCOM.
“Pewujudan sistem ini didasari oleh penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan hasrat ESSCOM bukan sahaja untuk dikenali sebagai pusat keselamatan tetapi juga sebagai pusat maklumat di ESS Zone,” katanya.






