Tunku Zain Al-‘Abidin sandang gelaran Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan

KUALA PILAH – Putera kedua Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Tunku Zain Al-‘Abidin, hari ini dimasyhurkan sebagai Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan dalam satu istiadat penuh adat yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti.

Istiadat bersejarah itu disempurnakan oleh Tuanku Muhriz yang berkenan mengisytiharkan serta menyampaikan watikah pelantikan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar kepada Tunku Zain Al-‘Abidin.

Turut berangkat menyaksikan istiadat berkenaan ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Majlis pemasyhuran itu turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, bersama barisan kepimpinan dan ketua jabatan kerajaan negeri.

Pelantikan Tunku Zain Al-‘Abidin sebagai Tunku Panglima Besar dibuat bagi mengisi kekosongan salah satu Gelaran Pusaka Putera Yang Empat Negeri Sembilan yang sebelum ini disandang oleh Tunku Datuk Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas istiadat berkenaan, Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali, memaklumkan Tuanku Muhriz menzahirkan keyakinan bahawa Tunku Zain Al-‘Abidin mampu meneruskan tanggungjawab dalam mempertahankan kedaulatan Institusi Diraja Negeri Sembilan serta memelihara kebajikan rakyat dan kemakmuran negeri.

Tunku Zain Al-‘Abidin dikenali sebagai tokoh yang aktif memperjuangkan reformasi institusi dan pengukuhan amalan perlembagaan di negara ini, selain sering terlibat dalam pelbagai inisiatif berkaitan pendidikan, pembangunan masyarakat dan kepimpinan belia.

Baginda menerima pendidikan di Sekolah Alice Smith, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pelajaran ke Marlborough College di United Kingdom dan seterusnya di London School of Economics and Political Science, dengan memperoleh Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Politik Perbandingan.

Dalam sektor pendidikan tinggi, baginda kini memegang jawatan sebagai Canselor Universiti UCSI dan Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), selain turut terlibat dengan beberapa institusi pengajian tinggi sebagai felo dan penasihat akademik.

Baginda juga memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses pendidikan berkualiti menerusi penglibatan sebagai pemegang amanah dan penaung kepada beberapa yayasan serta program pembangunan pendidikan.

Sebagai Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), baginda turut mengasaskan IDEAS Autism Centre yang menyediakan perkhidmatan pendidikan khas kepada kanak-kanak autisme di beberapa lokasi di negara ini.

Selain aktif dalam bidang pendidikan dan kebajikan, Tunku Zain Al-‘Abidin turut terbabit dalam sektor korporat menerusi penglibatan dalam beberapa syarikat dan organisasi terkemuka.

Baginda juga dikenali sebagai pencinta seni dan budaya, termasuk pernah membuat persembahan bersama Orkestra Filharmonik Malaysia serta terlibat dalam usaha memartabatkan warisan budaya Negeri Sembilan.

Sejak lebih sedekad lalu, baginda aktif menghasilkan penulisan berkaitan isu semasa, kenegaraan dan pembangunan masyarakat yang diterbitkan menerusi pelbagai platform media dan penerbitan.

Tunku Zain Al-‘Abidin turut mempunyai pengalaman antarabangsa menerusi penglibatan dengan Parlimen United Kingdom, Bank Dunia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), selain menerima pengiktirafan sebagai Eisenhower Fellow.

Dalam bidang sukan pula, baginda aktif menyokong pembangunan sukan raket dan terus memainkan peranan sebagai penaung serta penasihat kepada beberapa persatuan sukan di Negeri Sembilan.

Related Posts

Guru disiplin cedera ditumbuk pelajar, Exco tunggu laporan rasmi

PARIT – Seorang guru disiplin cedera dipercayai ditumbuk sekumpulan pelajar yang tidak puas hati rambut mereka dipotong dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Kuala Kangsar pada Rabu. Pengerusi Jawatankuasa…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hajiji terima Anugerah Tokoh Kemakmuran Pendidikan Negeri Sabah

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga pendidikan di negeri ini atas komitmen dan dedikasi mereka dalam memajukan sektor pendidikan. Beliau berkata,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Guru disiplin cedera ditumbuk pelajar, Exco tunggu laporan rasmi

Guru disiplin cedera ditumbuk pelajar, Exco tunggu laporan rasmi

JKOM masuk fasa baharu: Masa kuasai naratif, bukan sekadar jawab tuduhan

JKOM masuk fasa baharu: Masa kuasai naratif, bukan sekadar jawab tuduhan

Hajiji terima Anugerah Tokoh Kemakmuran Pendidikan Negeri Sabah

Hajiji terima Anugerah Tokoh Kemakmuran Pendidikan Negeri Sabah

AI bantu usahawan luar bandar Sabah tingkatkan perniagaan

AI bantu usahawan luar bandar Sabah tingkatkan perniagaan

Kerja baik pulih paip utama dipergiat, bekalan air Miri dijangka pulih segera

Kerja baik pulih paip utama dipergiat, bekalan air Miri dijangka pulih segera

JKOM perlu jadi jambatan hubung dasar kerajaan, realiti rakyat – KSN

JKOM perlu jadi jambatan hubung dasar kerajaan, realiti rakyat – KSN