Ekonomi negara lebih meyakinkan di bawah pentadbiran Anwar, Malaysia lebih dikenali di mata dunia

PUTRAJAYA – Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat telah berjaya meletakkan semula Malaysia pada landasan ekonomi yang lebih stabil, kredibel dan berdaya saing di peringkat antarabangsa berbanding era pentadbiran terdahulu

Penganalisis geopolitik dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, meskipun setiap perdana menteri berdepan cabaran berbeza mengikut keadaan semasa, pendekatan dilaksanakan Kerajaan MADANI memperlihatkan gabungan reformasi fiskal, kestabilan politik dan diplomasi ekonomi yang lebih berkesan dalam memulihkan keyakinan pasaran global terhadap Malaysia.

Menurut beliau, era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menyaksikan pelbagai inisiatif pembangunan dan pertumbuhan ekonomi dilaksanakan, namun persepsi antarabangsa terhadap Malaysia ketika itu turut terkesan akibat isu tadbir urus yang menimbulkan persoalan mengenai integriti institusi negara.

“Di zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin, walaupun pandemik COVID-19 merupakan faktor utama menjejaskan prestasi ekonomi ketika itu, ketidaktentuan politik berlarutan turut memberi kesan terhadap keyakinan pelabur dan persepsi pasaran terhadap Malaysia. Ketika itu mereka lebih utamakan kelangsungan politik berbanding pelaksanaan agenda reformasi ekonomi jangka panjang. Inflasi negara pun naik mendadak sekitar 2.5 peratus ke 3.3 peratus.

“Namun, pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan cabaran yang berbeza apabila perlu memulihkan semula keyakinan pelabur, memperkukuh kedudukan fiskal negara serta mengembalikan kestabilan politik serta ekonomi selepas beberapa tahun negara berdepan ketidaktentuan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.

Mengulas lanjut, Nur Ashikin berkata, pelaksanaan bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bukan sekadar instrumen kebajikan, tetapi merupakan sebahagian daripada strategi ekonomi makro untuk mengekalkan kestabilan sosial dan daya tahan permintaan domestik.

Beliau berpandangan, dalam kerangka ekonomi politik antarabangsa, kestabilan sosial merupakan faktor penting yang dinilai pelabur asing kerana ia berkait rapat dengan tahap risiko sesebuah negara.

“Pendekatan bantuan lebih bersasar serta reformasi subsidi di bawah Anwar menunjukkan usaha memperkukuh disiplin fiskal dan mengurangkan ketirisan perbelanjaan kerajaan. Itu beri isyarat positif kepada pasaran kewangan global dan agensi penarafan kredit bahawa Malaysia sedang bergerak ke arah tadbir urus fiskal lebih mampan, bertanggungjawab dan berorientasikan keberhasilan.

“Dalam kerangka ini, ‘policy credibility’ kerajaan meningkat, sekali gus mengurangkan risiko negara (country risk premium) dan meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan jangka panjang, khususnya dalam sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor, pusat data dan ekonomi digital,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Ashikin berkata, pendekatan diplomasi ekonomi yang diamalkan Anwar menerusi strategi ‘hedging’ secara pragmatik melalui hubungan seimbang dengan China, Amerika Syarikat dan negara ASEAN turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan ekonomi stabil dalam suasana geopolitik global yang semakin kompleks.

“Pendekatan sedemikian telah meningkatkan ‘soft power’ ekonomi Malaysia dan mengukuhkan keyakinan pelabur antarabangsa bahawa negara ini tidak terdedah kepada risiko geopolitik yang ekstrem.

“Berbanding era sebelumnya yang banyak tertumpu kepada pengurusan krisis domestik atau berdepan cabaran persepsi antarabangsa, pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim memperlihatkan pendekatan yang lebih menyeluruh melalui gabungan kestabilan politik, disiplin fiskal dan diplomasi ekonomi yang pragmatik.

“Justeru, dari sudut ekonomi politik antarabangsa, terdapat asas yang kukuh untuk menyatakan bahawa pentadbiran beliau berjaya meningkatkan semula keyakinan pelabur serta meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih baik dan kompetitif berbanding beberapa tahun lalu,” katanya.

Sehubugan itu, Nur Ashikin berpendapat bahawa pentadbiran Anwar yang juga Menteri Kewangan itu berjaya memperlihatkan gabungan antara reformasi fiskal, kestabilan sosial melalui dasar bantuan bersasar, dan diplomasi ekonomi yang lebih seimbang.

“Gabungan ini telah menyumbang kepada pemulihan keyakinan pasaran, pengukuhan kestabilan politik domestik dan peningkatan daya tarikan pelaburan antarabangsa.

“Justeru, dalam kerangka ekonomi politik antarabangsa, terdapat asas yang kukuh untuk melihat pentadbiran beliau sebagai fasa penting dalam meletakkan semula Malaysia pada landasan ekonomi yang lebih stabil, kredibel dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Related Posts

Perpaduan ummah atau perceraian politik?

‘PERPADUAN Ummah’ ialah antara slogan paling kerap diulang oleh Pas dalam dua dekad terakhir. Ia kedengaran mulia, menyentuh emosi umat Islam dan memberikan gambaran bahawa Pas ialah parti yang sentiasa…

Lebih lanjut

teruskan membaca
UNHCR digesa percepat penempatan semula Rohingya ke negara ketiga

ALOR SETAR – Gerakan Belia 4B Malaysia Negeri Kedah menggesa Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mempercepatkan proses penempatan semula pelarian Rohingya ke negara ketiga bagi mengurangkan beban…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tugas PN rampas Pahang sukar lepas hubungan Pas-Bersatu berakhir

Tugas PN rampas Pahang sukar lepas hubungan Pas-Bersatu berakhir

Projek SSM Perlis dahului jadual, capai 87 peratus siap

Projek SSM Perlis dahului jadual, capai 87 peratus siap

LKIM salur bantuan RM467,532 perkasa nelayan Perak Zon Utara

LKIM salur bantuan RM467,532 perkasa nelayan Perak Zon Utara

Warga asing tanpa lesen ditahan, kereta disita dalam Ops PeWA

Warga asing tanpa lesen ditahan, kereta disita dalam Ops PeWA

Ekonomi negara lebih meyakinkan di bawah pentadbiran Anwar, Malaysia lebih dikenali di mata dunia

Ekonomi negara lebih meyakinkan di bawah pentadbiran Anwar, Malaysia lebih dikenali di mata dunia

Program Satelit PMR KEMAS perkukuh perpaduan komuniti di Samalaju

Program Satelit PMR KEMAS perkukuh perpaduan komuniti di Samalaju