
GEORGE TOWN – Kenaikan tarif air di Pulau Pinang perlu dilaksanakan bagi memastikan projek pembangunan infrastruktur bekalan air bernilai berbilion ringgit dapat diteruskan demi menjamin kestabilan bekalan pada masa hadapan.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, walaupun Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang sebagai operator air Pulau Pinang mencatat keuntungan, jumlah itu masih tidak mencukupi untuk membiayai pelbagai projek kritikal yang diperlukan.
“Kita punya projek yang nak dibuat bernilai berbilion ringgit. Untung yang ada itu tidak mencukupi untuk membiayai semua projek yang kita nak buat.
“Untuk membiayai semua projek ini memerlukan dana yang besar, sebab kita nak bina beberapa loji rawatan air baharu, projek penggantian paip dan menaik taraf sistem sedia ada,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Komtar di sini hari ini.
Zairil berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang, Oh Tong Keong yang mendakwa keputusan kerajaan negeri menaikkan tarif air mulai 1 Julai ini sebagai satu lagi beban kepada rakyat ketika kos sara hidup dan tekanan ekonomi masih meningkat.
Tong Keong berkata, kerajaan negeri tidak sepatutnya menggunakan alasan menaik taraf infrastruktur bagi memunasabahkan kenaikan tarif sehingga membebankan rakyat yang masih bergelut dengan pelbagai tekanan ekonomi.
Menurut Tong Keong, alasan penangguhan selama setahun yang diberikan kerajaan negeri sebelum ini juga dilihat sekadar usaha meredakan bantahan rakyat memandangkan kenaikan tarif tetap diteruskan selepas tempoh tersebut berakhir.
Tambah Zairil, antara projek utama yang sedang dan akan dilaksanakan termasuk pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Mengkuang yang kini dalam pembinaan, selain dua loji baharu di Sungai Krian berkapasiti 80 juta liter sehari (MLD) dan 114 MLD.
Katanya lagi, turut dirancang ialah projek berkaitan sumber air di Sungai Perai dan Sungai Muda termasuk penggunaan sistem pam bagi meningkatkan kapasiti bekalan.
“Semua projek ini terpaksa dibuat. Kalau tidak, kita akan mengalami masalah seperti tahun-tahun lepas iaitu masalah bekalan air sebab sudah lama tidak ada projek baharu dilaksanakan,” katanya.
Zairil menambah, antara faktor yang menyumbang kepada kekangan pembangunan infrastruktur air sebelum ini ialah kadar tarif yang terlalu rendah sehingga menjejaskan kemampuan untuk membuat pelaburan baharu.
“Masalah bekalan air berlaku kerana dahulu tidak cukup penaiktarafan dibuat. Sebab tarif terlalu rendah, jadi tidak cukup duit untuk melabur dalam infrastruktur baharu.
“Jadi kita perlu naikkan tarif untuk meningkatkan dana supaya semua projek ini dapat dilaksanakan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan negeri masih mengambil kira kebajikan pengguna domestik khususnya golongan yang menggunakan air pada kadar rendah.
“Pada masa sama, kita masih prihatin dan memastikan kenaikan tarif untuk pengguna domestik yang menggunakan air kurang daripada 35,000 liter sebulan masih lagi terkawal. Itu mesej yang paling penting,” katanya.
Pada Khamis, media melaporkan Pulau Pinang akan melaksanakan kadar tarif air baharu bagi pengguna domestik dan bukan domestik bermula 1 Julai ini selepas pelaksanaannya ditangguhkan selama 12 bulan.
Pelarasan itu melibatkan 82 peratus pengguna domestik atau isi rumah yang menggunakan 35 meter padu air atau kurang setiap bulan, dengan kenaikan 8.5 sen atau RM2.55 sebulan.
Bagi pengguna bukan domestik pula, purata kadar tarif baharu bagi 500 meter padu pertama sebulan ialah RM2.28 bagi setiap meter padu.







