
GERIK – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter di kawasan Puncak Gerik, Lebuhraya Timur-Barat (JRTB), di sini, pagi Selasa.
Mangsa lelaki berusia 26 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.09 pagi.
Menurut beliau, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik telah dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat.
“Siasatan awal mendapati motosikal jenis Kawasaki Z250 yang ditunggang mangsa dipercayai terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter.
“Pasukan bomba segera menjalankan operasi menyelamat dengan mengaplikasikan konsep SAVER bagi membawa mangsa naik ke atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, anggota bomba menggunakan pengusung dan membawa mangsa melalui laluan longkang bertingkat di lebuh raya berkenaan.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“JBPM Perak turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka diberikan ketabahan menghadapi dugaan ini,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa memandu dan menunggang dengan berhati-hati terutama di laluan berbukit, berselekoh serta berisiko tinggi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.



