Oleh: S.Abdullah dan Don Mikael
SEREMBAN – Pemimpin Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mengadakan satu mesyuarat di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di Seremban, pada Selasa.
Difahamkan, mesyuarat di kediaman Pengerusi PH Negeri Sembilan itu diadakan, dipercayai bagi membincangkan mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
Antara kepemimpinan yang dilihat hadir termasuklah Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan, J. Arul Kumar dan Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan, Ahmad Shahir Mohd Shah memaklumkan tiada sidang media berkaitan perkara itu akan dibuat, pada Selasa.
Bagaimanapun beliau mengesahkan, Menteri Besar akan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir esok sebagaimana kelaziman sebelum Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan diadakan.
“Setakat pagi ini belum ada panggilan bagi mengadakan sidang media. Esok Menteri Besar akan mengadap Tuanku (Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir)
“Sesi menghadap baginda adalah kelaziman dilakukan Menteri Besar sebelum mengadakan mesyuarat mingguan Exco,” katanya.
Sebelum ini, Aminuddin dilaporkan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan PRN negeri itu akan diadakan tahun ini, namun keputusan itu bergantung kepada kesesuaian semasa.
Pada Isnin, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengumumkan pembubaran DUN negeri itu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri ( PRN ) ke-16.





