
TAWAU – Loji Rawatan Air Utara (Timatch), di sini, yang mengalami gangguan operasi sejak Jumaat ditutup sementara berikutan kerosakan yang melibatkan sebuah unit transformer milik Sabah Electricity (SE).
Jabatan Air Bahagian Tawau dalam satu kenyataan memaklumkan, susulan kejadian tersebut, kerja-kerja penggantian transformer baharu telah dilaksanakan SE dan operasi loji kembali pulih serta beroperasi semula pukul 12.00 tengah malam.
“Walaubagaimanapun, sekitar pukul 8.30 pagi hari ini (Sabtu) , loji sekali lagi mengalami gangguan bekalan elektrik yang menyebabkan operasi rawatan air terjejas.
“SE bersama Jabatan Air Sabah (JAS) sedang giat menjalankan kerja-kerja pemeriksaan, pembaikan dan pemulihan bagi mengenal pasti punca gangguan serta memastikan operasi loji dapat kembali berfungsi seperti biasa dalam kadar segera,” menurut kenyataan itu, pada Sabtu.
Sehubungan itu, pengguna yang menerima bekalan air daripada kawasan liputan Loji Rawatan Air Utara (Timatch) dijangka mengalami gangguan bekalan air, tekanan air rendah atau bekalan yang tidak stabil sehingga operasi loji pulih sepenuhnya.
Antara kawasan terjejas termasuklah kawasan Air Panas, sekitar Ranggu, Bandar Sri Indah, kawasan Sin Onn, Ma On San, Jalan Timur, Taman Millenium, Kongsi 8 dan Kongsi 10 serta sekitar Chong Thien Vun.
“Pelanggan yang terjejas disaran menggunakan air secara berhemat sementara tempoh gangguan bekalan air dijangka sehingga bekalan elektrik pulih,” tambah kenyataan itu.






