
KOTA KINABALU – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman kenaikan bayaran interim pemberian khas Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion.
Mustapha berkata, pengumuman tersebut membuktikan komitmen serta kesungguhan Kerajaan MADANI dalam menangani tuntutan hak Sabah secara berperingkat, tersusun dan bertanggungjawab.
“Sebelum perubahan Kerajaan Persekutuan pada 2022, Sabah hanya menerima kira-kira RM26.7 juta setahun selama beberapa dekad meskipun tuntutan 40 peratus hasil negeri termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Di bawah pentadbiran Perdana Menteri, kita menyaksikan peningkatan yang amat ketara dalam pembayaran pemberian khas kepada Sabah dari tahun ke tahun.
“Sabah menerima RM125.6 juta pada tahun 2022, diikuti RM300 juta pada 2023 dan 2024, manakala RM600 juta masing-masing pada 2025 dan 2026 sebelum diumumkan kenaikan pembayaran interim kepada RM1.5 bilion,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah Mustapha, peningkatan secara konsisten itu menunjukkan suara dan tuntutan rakyat Sabah bukan sahaja didengari tetapi turut diberikan perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan.
“Isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah merupakan perkara yang telah berlarutan selama puluhan tahun dan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat tanpa komitmen politik yang kukuh serta hubungan kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Justeru, pengumuman RM1.5 bilion ini merupakan satu pencapaian besar yang wajar dihargai oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan perjuangan menuntut hak Sabah akan terus diteruskan sehingga penyelesaian yang lebih menyeluruh dan muktamad dapat dicapai selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Kita mahukan pendekatan yang matang, berhemah dan berpandangan jauh demi memastikan hak Sabah dapat direalisasikan tanpa menjejaskan kestabilan dan hubungan baik dalam Persekutuan Malaysia.
“Saya yakin, di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan semangat Malaysia MADANI, agenda memperkasa Sabah dan Sarawak akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mustapha turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus memperjuangkan hak Sabah secara konstruktif dan bertanggungjawab demi memastikan agenda tersebut dapat direalisasikan untuk manfaat rakyat negeri itu.




