PRN mengejut jika enam ADUN Pas bawa usul undi tidak percaya – MB Perlis

KANGAR – Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah memberi bayangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis boleh dibubarkan sekiranya enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pas membawa usul undi tidak percaya terhadap beliau pada sidang DUN yang dijadual berlangsung 3 hingga 5 Jun depan.

Beliau berkata, tindakan itu merupakan pilihan terakhir sekiranya berlaku cubaan menggugat pentadbiran kerajaan negeri diterajui Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

Menurutnya, kerajaan PN Perlis sebelum ini dibentuk hasil peralihan kuasa politik negeri yang turut mendapat perkenan Raja Perlis untuk terus dipertahankan.

“Namun sekiranya berlaku perkara-perkara tidak diingini (undi tidak percaya) saya tidak ada pilihan (bubarkan DUN).

“Jika berlaku dan mungkin berlaku, saya membuat keputusan dan tidak ada pilihan terpaksa bubarkan DUN.

“Jika ada unsur-unsur membuat undi tidak percaya semasa sidang DUN nanti, kita bubar, apa masalah, bagi saya orang politik, tidak pernah kenal erti takut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Malam Citra Warna Kuala Perlis 2026 di sini malam semalam.

Kelmarin, Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dilaporkan menegaskan parti Bersatu tidak menghormati semangat setiakawan dalam gabungan PN termasuk dalam kemelut politik di Negeri Sembilan selain sebelum ini didakwa menyokong usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Perlis daripada Pas.

Ahli Parlimen Marang itu turut memaklumkan akan berbincang dengan pimpinan Pas Perlis mengenai tindakan lanjut berhubung kemelut politik negeri berkenaan.

Sidang DUN Perlis pada Jun depan dijangka menjadi tumpuan susulan kemungkinan enam ADUN Pas membawa usul undi tidak percaya terhadap Abu Bakar.

Sebelum ini, enam wakil rakyat Pas diketuai Mohd Shukri Ramli (Sanglang) menuntut penjelasan Abu Bakar berhubung penangguhan sidang DUN Perlis yang sepatutnya berlangsung pada 21 hingga 23 April lalu.

Lima lagi ADUN terlibat ialah Muhammad Azmir Azizan (Santan), Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang), Razali Saad (Simpang Empat), Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer) dan Haziq Asyraf Dun (Beseri).

Bagaimanapun, Abu Bakar menafikan penangguhan sidang DUN Perlis tersebut disebabkan beliau takut kehilangan sokongan majoriti dalam kerajaan negeri.

Related Posts

AMK Penampang desak Noorazli tarik balik kenyataan, mohon maaf kepada umat Kristian

PENAMPANG – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Penampang menggesa Ketua UMNO Sepang, Datuk Noorazli Said menarik balik kenyataannya yang didakwa menjadikan paderi dan biarawati Katolik sebagai bahan jenaka berunsur seksual ketika…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pemandu lori maut dihempap runtuhan batu di kuari

IPOH – Seorang lelaki berusia 53 tahun maut selepas lori dipandunya dihempap batu bersaiz besar yang dipercayai menggelongsor dari lereng bukit dalam kejadian runtuhan batu di sebuah kawasan kuari di…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

AMK Penampang desak Noorazli tarik balik kenyataan, mohon maaf kepada umat Kristian

  • By Ithma
  • September 15, 2026
AMK Penampang desak Noorazli tarik balik kenyataan, mohon maaf kepada umat Kristian

Pemandu lori maut dihempap runtuhan batu di kuari

Pemandu lori maut dihempap runtuhan batu di kuari

Sensitiviti agama bukan jenaka politik, Ketua UMNO Sepang diminta mohon maaf

Sensitiviti agama bukan jenaka politik, Ketua UMNO Sepang diminta mohon maaf

Hospital Lawas bernilai RM183 juta siap, perkasa perkhidmatan kesihatan buat rakyat

Hospital Lawas bernilai RM183 juta siap, perkasa perkhidmatan kesihatan buat rakyat

Hospital baharu Lawas perkukuh akses rawatan penduduk utara Sarawak

Hospital baharu Lawas perkukuh akses rawatan penduduk utara Sarawak

Lembaga Pengampunan: Pas perlu faham peraturan, bukan keruhkan keadaan – PM Anwar

Lembaga Pengampunan: Pas perlu faham peraturan, bukan keruhkan keadaan – PM Anwar