
MUKAH – Suasana di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers bertukar ceria dan penuh warna-warni apabila warga sekolah, ibu bapa serta komuniti setempat berhimpun bagi menjayakan sambutan ‘tiga dalam satu’ pada Jumaat.
Program yang penuh meriah itu merangkumi penganjuran Hari Guru, Hari Pekerja, dan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) Pra Gawai 2026.
Masing-masing tidak melepaskan peluang memperagakan busana tradisional pelbagai etnik Sarawak, sekali gus menterjemahkan semangat perpaduan dan keunikan budaya Bumi Kenyalang yang tiada tolok bandingnya.

Kemeriahan majlis tersebut diserikan lagi dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine yang turun padang menyantuni serta menzahirkan penghargaan buat warga pendidik dan pekerja sekolah yang diraikan.
Mengangkat tema penganjuran ‘Guru Bitara Nadi Negara’, Royston menyifatkan peranan guru pada masa kini bukan sekadar mengajar di dalam bilik darjah, sebaliknya memikul amanah besar dalam membentuk sahsiah, disiplin dan jati diri generasi pelapis masa depan.
“Pengorbanan guru dalam mendidik anak bangsa wajar dihargai. Mereka adalah pembimbing yang melahirkan individu berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menitipkan ucapan terima kasih kepada seluruh barisan kakitangan dan pekerja sekolah yang sentiasa komited bekerja di sebalik tabir bagi memastikan kelancaran operasi institusi pendidikan demi keselesaan semua pihak.
Menyentuh mengenai keunikan sambutan pra Gawai pula, Royston meluahkan rasa bangga melihat keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak yang terus mengekalkan amalan hidup saling menghormati.
“Perayaan seperti Gawai bukan sahaja simbol budaya masyarakat Dayak, tetapi juga menjadi medium terbaik untuk memperkukuh hubungan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum,” tambahnya.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Mukah, Awang Yusri; Pengetua SMK Three Rivers, Donny Dahlan dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Mohamad Nazir Besiri.
Foto: JAPEN Mukah




