
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) sebagai langkah mempertingkat perlindungan kanak-kanak dan mengekang penyebaran kandungan berbahaya dalam talian.
Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan kod terbabit ialah Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) yang dibangunkan hasil sesi libat urus bersama industri, pertubuhan masyarakat sivil serta pelbagai pihak berkepentingan.
Menurut MCMC, proses rundingan awam berkaitan pelaksanaan kedua-dua kod berkenaan berlangsung dari 12 Februari hingga 31 Mac lalu.
“CPC dan RMC merupakan langkah penting dalam memperkukuh pendekatan Malaysia terhadap keselamatan dalam talian.
“Pelaksanaan obligasi utama di bawah ONSA ini juga adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan pengalaman digital yang lebih selamat bagi kanak-kanak dan keluarga,” katanya.
MCMC berkata, pelaksanaan kod itu dijangka memperkukuh perlindungan terhadap golongan kanak-kanak dalam ruang digital selain membantu ibu bapa berdepan cabaran risiko siber yang semakin kompleks.
Katanya, kod berkenaan turut menetapkan tanggungjawab lebih jelas kepada penyedia perkhidmatan digital dalam menangani kandungan memudaratkan, khususnya yang melibatkan pengguna rentan dan bawah umur.
“Pendekatan pelaksanaan di bawah kod ini adalah berasaskan hasil yang memberi fleksibiliti kepada pemberi perkhidmatan untuk melaksanakan penyelesaian bersesuaian dengan keperluan keselamatan, privasi dan perundangan,” katanya.
Menurut MCMC, CPC memberi penekanan terhadap usaha mewujudkan pengalaman dalam talian yang lebih selamat dan sesuai mengikut peringkat umur pengguna kanak-kanak.
Katanya, antara langkah diperkenalkan termasuk penerapan prinsip keselamatan melalui binaan atau safety by design dalam sistem perkhidmatan digital, termasuk mengehadkan pembukaan serta pemilikan akaun bagi pengguna berusia bawah 16 tahun.
“Langkah di bawah CPC menyediakan perlindungan mengikut umur serta mengehadkan fungsi tertentu yang boleh mendedahkan kanak-kanak kepada risiko dan mengurangkan pendedahan kepada kandungan eksploitasi dan memudaratkan,” katanya.
Dalam pada itu, MCMC memaklumkan RMC pula mewajibkan penyedia platform melaksanakan pendekatan lebih proaktif dan menyeluruh bagi mengurangkan risiko penyebaran kandungan berbahaya.
Menurutnya, langkah berkenaan meliputi penilaian risiko, pengukuhan tadbir urus kandungan, mekanisme pelaporan dan tindakan responsif, selain pengesahan pengiklan dan pelabelan kandungan dimanipulasi.
“CPC dan RMC akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun depan, namun tempoh pelaksanaan munasabah akan diberikan kepada pemberi perkhidmatan bagi membolehkan proses pengesahan diselesaikan dengan teratur,” katanya.
Maklumat lanjut berkaitan CPC boleh diperoleh menerusi https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf2/SOALAN-SOALAN-LAZIM-KOD-PERLINDUNGAN-KANAK-KANAK-DI-BAWAH-AKTA-KESELAMATAN-DALAM-TALIAN-2025.pdf
Maklumat mengenai RMC pula boleh dirujuk di https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf2/SOALAN-SOALAN-LAZIM-FAQ-MENGENAI-KOD-PENGURANGAN-RISIKO-DI-BAWAH-AKTA-KESELAMATAN-DALAM-TALIAN-2025.pdf





