
DEBAK – Penganjuran Majlis Tilawah al-Quran (MTQ) Peringkat Bahagian Betong terus menjadi medan penting dalam memperkasa syiar Islam, selain menyemai kecintaan masyarakat terhadap kalam suci Allah.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam berkata, al-Quran bukan sekadar untuk dibaca dan dialunkan dengan merdu, sebaliknya perlu difahami, dihayati serta diamalkan dalam kehidupan seharian.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan turut berperanan sebagai platform terbaik bagi mencungkil bakat baharu qari dan qariah, terutamanya dalam kalangan generasi muda di bahagian itu.
“Malah, kehadiran peserta dan pengunjung dari pelbagai daerah secara tidak langsung memberi impak positif kepada rantaian ekonomi setempat,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis penutupan MTQ Peringkat Bahagian Betong di Dewan Perpaduan, Debak, pada Khamis.

Pada penganjuran kali ini, daerah Saratok mencipta kecemerlangan apabila berjaya merangkul dua pengiktirafan yang julung kali diperkenalkan iaitu Anugerah Penganjur MTQ Daerah Terbaik dan Johan Keseluruhan MTQ Peringkat Bahagian Betong.
Mengulas lanjut, Mohammad Razi berkata, program berkenaan merupakan MTQ peringkat bahagian kedua yang dianjurkan selepas Bahagian Samarahan. Beliau berharap ia terus menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh penghayatan budaya al-Quran dalam kalangan masyarakat setempat.
Secara keseluruhan, seramai 63 peserta telah mengambil bahagian membabitkan daerah Betong (lapan qari, 12 qariah); Saratok (sembilan qari, 10 qariah); Pusa (tujuh qari, lapan qariah) dan Kabong (enam qari, tiga qariah).
Lebih menarik, acara tersebut turut diserikan dengan penyertaan peserta paling senior yang berusia 70 tahun. Dedikasi itu disifatkan sebagai bukti kecintaan terhadap al-Quran tidak mengenal faktor umur dan wajar dijadikan inspirasi buat generasi muda.

Bagi keputusan pertandingan, kategori qari diungguli oleh Muhammad Hafiz Pelira selaku johan, manakala tempat kedua disandang oleh Muhammad Haziq Hafiy Hassan, diikuti Azizul Azmin Abdul Rajak di tempat ketiga.
Bagi kategori qariah pula, gelaran johan menjadi milik Norhasimah Marzuki, naib johan dirangkul oleh Nur Saidatul Hanisah Saleman, dan Nur Qurrati Ain Saleman di kedudukan ketiga.
Pemenang johan bagi setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500, manakala naib johan dan pemenang tempat ketiga masing-masing menerima RM2,000 dan RM1,500 berserta piala dan sijil iringan.




