
PADAWAN – Majlis Perbandaran Padawan (MPP) terus memperkukuh inisiatif kelestarian alam sekitar menerusi penganjuran program sulung, Waste to Bags MPP 2026 pada Rabu.
Program yang memfokuskan pengurusan sisa secara kreatif itu berjaya menghimpunkan penyertaan masyarakat setempat di sekitar Padawan.
Menerusi program tersebut, peserta diberi pendedahan mengenai kaedah menukar bahan terpakai kepada produk baharu yang lebih praktikal, contohnya menghasilkan beg guna semula daripada seluar jean lama.
Pengerusinya, Kaunselor Tan Kai berkata, melalui pendekatan kitar semula kreatif atau upcycling, peserta bukan sahaja dididik untuk mengurangkan pembuangan sisa pepejal, malah digalakkan untuk melihat bahan terpakai sebagai sumber yang bernilai ekonomi.
“Pelaksanaan program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak majlis dalam memperkenalkan pendekatan pengurusan sisa yang lebih inovatif dan mesra komuniti.
“Ia bukan sahaja memberi impak positif kepada alam sekitar, tetapi turut membuka peluang kepada masyarakat untuk menambah kemahiran baharu yang berpotensi menjana pendapatan sampingan,” katanya.
Mengulas lanjut, Tan Kai berkata, MPP sentiasa komited memperluas program berasaskan kelestarian agar masyarakat lebih peka terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar dalam rutin harian mereka.

Tambah beliau, inisiatif berkenaan turut selari dengan elemen Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan di peringkat global.
“Ia merangkumi SDG 8 (Pekerjaan yang Layak dan Pertumbuhan Ekonomi), SDG 11 (Bandar dan Masyarakat Mampan), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab), SDG 13 (Tindakan terhadap Iklim) serta SDG 17 (Kerjasama demi Matlamat),” jelasnya.
Sehubungan itu, MPP berharap program sedemikian dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan yang lebih meluas bagi merealisasikan impian menjadikan Padawan sebagai kawasan yang lebih bersih, hijau dan lestari.






