
PAYA RUMPUT – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyasarkan sebanyak 800 bilik darjah di seluruh negara akan ditransformasikan kepada ‘AI Powered Classroom’ menjelang akhir tahun 2027 sebagai usaha memperkukuh agenda transformasi pendidikan digital negara.
Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad berkata, inisiatif strategik itu merupakan antara fokus utama di bawah Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 bagi memastikan literasi digital dapat diterapkan secara menyeluruh dalam sistem pendidikan negara.
Menurut beliau, pelaksanaan ‘AI Powered Classroom’ ketika ini dimulakan secara rintis di beberapa sekolah termasuk di Sekolah Kebangsaan Paya Rumput sebelum diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negara, dengan sasaran sebanyak 800 bilik darjah menjelang akhir tahun 2027.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Peluncuran AI Powered Classroom Peringkat Negeri Melaka 2026 yang berlangsung di sekolah berkenaan, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput merangkap Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Rais Yasin berkata, beliau berbangga apabila sekolah di kawasan itu dipilih sebagai lokasi peluncuran inisiatif penting berkenaan.
Menurutnya menerusi perkongsian di Facebook, pelaksanaan AI Powered Classroom itu dilihat mampu memperkukuh agenda transformasi pendidikan digital negara selain memperluaskan penguasaan teknologi dalam kalangan murid.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, seluruh warga pendidikan serta semua pihak yang terlibat atas usaha dan inisiatif murni ini demi pembangunan minda, penguasaan teknologi dan pembentukan generasi murid yang lebih bersedia mendepani era digital,” katanya.
Beliau berharap pelaksanaan AI Powered Classroom itu mampu menjadi pemangkin kepada lahirnya generasi celik teknologi, berfikiran kreatif dan berdaya saing selaras dengan keperluan pendidikan masa hadapan.
Terdahulu, KPM dilaporkan memaklumkan sebanyak 27 bilik darjah AI Powered Classroom telah diwujudkan di beberapa sekolah sebagai permulaan ke arah memperkasakan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).



