
KOTA KINABALU – Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan 96 tahun dan denda RM284.3 juta terhadap bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 63. selepas didapati bersalah atas 12 pertuduhan pegubahan wang haram di Mahkamah sesyen di sini, pada Selasa.
Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun bagi setiap pertuduhan serta berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan.
Mahkamah turut menetapkan tambahan 78 bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.
Terdahulu, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Ag Mohd Tahir.
Bagaimanapun, isterinya, Fauziah Piut, 61, dan bekas Timbalan Pengarah JANS, Lim Lam Beng, 72, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan.
Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.




