
HULU TERENGGANU – Menteri Pendidikan Tinggi,Datuk Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan institusi pendidikan tinggi (IPT), politeknik dan kolej komuniti tidak boleh hanya berfungsi sebagai pusat akademik semata-mata, sebaliknya perlu turun padang membantu membangunkan komuniti luar bandar menerusi kepakaran dan penyelidikan yang dimiliki.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kembara Pendidikan Tinggi Peringkat Negeri Terengganu di SMK Menerong, Ajil, di sini hari ini.
Menurut beliau, universiti mempunyai pelbagai kepakaran yang mampu dimanfaatkan untuk memperkasa ekonomi dan pembangunan masyarakat setempat, termasuk dalam sektor pertanian, perusahaan kecil dan produk tempatan.
“Saya telah meminta universiti-universiti untuk turun ke kampung dan bersama komuniti setempat. Jangan hanya duduk di universiti semata-mata. Jika universiti tidak turun membantu komuniti, maka habislah komuniti kita,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selaku tuan rumah program berkenaan yang turut dibantu pelbagai agensi lain dalam menjayakan penganjuran program tersebut.
Dalam ucapan sama, beliau menjelaskan bahawa hasil kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan masyarakat mampu melahirkan produk bernilai tinggi seperti madu kelulut yang kini semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.
Katanya, madu kelulut tempatan mempunyai keunikan tersendiri kerana dihasilkan di kawasan tropika dan sukar diperoleh di negara lain.
“Negara seperti Jepun sendiri meminta kita mengeksport madu kelulut ke sana kerana mereka sangat menyukai rasa dan keaslian produk ini,” katanya.
Beliau berkata penyelidik universiti memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan komuniti dapat dilaksanakan secara mampan menerusi penggunaan ilmu pengetahuan dan hasil kajian yang memberi manfaat terus kepada rakyat.
Sehubungan itu, beliau berharap setiap negeri mempunyai jaringan universiti, politeknik dan kolej komuniti yang aktif membantu pembangunan masyarakat setempat.
“Golongan universiti, kolej komuniti dan politeknik tidak boleh menjauhkan diri daripada masyarakat. Mereka perlu bersama rakyat dan memberi kerjasama untuk pembangunan komuniti,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menegaskan bahawa syarat asas kemasukan ke institusi pengajian tinggi tetap perlu berteraskan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Saya akan memastikan pengambilan pelajar ke IPT mesti mempunyai SPM. Selagi saya menjadi menteri, saya tidak akan benarkan sesiapa yang tiada SPM masuk ke IPT kerana ini adalah asas sistem pendidikan negara,” katanya.
Beliau berkata sistem pendidikan negara tidak boleh diubah semata-mata untuk memenuhi kepentingan individu tertentu kerana pendidikan bukan hanya soal akademik, tetapi turut melibatkan pembinaan negara bangsa.
Pada masa sama, beliau turut menjelaskan bahawa institusi pengajian tinggi kini turut menawarkan sistem Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang membolehkan rakyat daripada pelbagai lapisan usia termasuk penjawat awam menyambung pengajian berdasarkan pengalaman dan kelayakan yang dimiliki.
“Walaupun umur sudah 70 tahun, mereka masih boleh belajar menerusi sistem PSH yang disediakan universiti,” katanya.
Mengakhiri ucapan, Zambry berharap lebih banyak program pembangunan kampung dapat dilaksanakan menerusi kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan masyarakat setempat pada masa akan datang.






