Tidak bercanggah dasar pendidikan negara jika lepasan UEC masuk IPTA

PUTRAJAYA – Langkah kerajaan membenarkan lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) disifatkan tidak bercanggah dengan tunjang dasar pendidikan negara.

Bekas Setiausaha Agung Siswa Barisan Nasional (BN), Syed Mohd Kazim Syed Nasir berkata, ini kerana syarat kemasukan ke IPTA masih mewajibkan subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Menurut beliau, dua mata pelajaran itu kekal menjadi komponen penting dalam pembentukan identiti nasional manakala syarat Bahasa Melayu pula selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Isu pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC) sering menjadi polemik apabila dibincangkan dalam konteks dasar pendidikan negara, malah tidak dinafikan turut dijadikan modal politik oleh pelbagai pihak.

“Namun begitu, persoalan yang timbul ialah sama ada pengiktirafan UEC yang dibangkitkan dalam wacana Kementerian Pengajian Tinggi bercanggah dengan dasar pendidikan sedia ada atau tidak,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Syed Mohd Kazim berkata, berdasarkan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), sistem pendidikan Malaysia digariskan sebagai satu sistem pendidikan kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang menekankan keseragaman kurikulum, sistem penilaian, serta pembentukan nilai kenegaraan sebagai teras utama identiti nasional.

“Dalam konteks semasa, pengiktirafan UEC difahamkan hanya merangkumi bidang tertentu seperti Bahasa Cina dan Sastera Cina, selain syarat kemasukan ke IPTA masih mewajibkan subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun menurut Syed Mohd, terdapat pandangan dalam kalangan pemerhati pendidikan dan badan bukan kerajaan yang menyeru agar kerajaan terus memperkukuh pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan di bawah Akta 550.

“Ini termasuk menilai dengan teliti sebarang bentuk kelayakan luar sistem kebangsaan agar tidak mengubah asas sistem pendidikan yang telah lama menjadi tonggak perpaduan negara.

“Pendekatan tersebut katanya, bukan bertujuan menolak mana-mana sistem pendidikan, sebaliknya memastikan kerangka pendidikan negara kekal konsisten, tersusun dan berlandaskan undang-undang sedia ada demi kepentingan jangka panjang bagi Malaysia,” katanya.

Terdahulu Ketua Pengarah KPT, Datuk Azlinda Azman memaklumkan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tetap tidak mengiktiraf sukatan pelajaran UEC, sebaliknya sekadar memberi laluan kepada lepasan sijil itu untuk mengikuti kursus tertentu di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Menurut beliau, pihak universiti juga akan menilai syarat-syarat dan kriteria pelajar berkelulusan UEC yang memohon untuk melanjutkan pengajian ke IPTA.

Azlinda turut menegaskan, Senat Universiti tidak akan berkompromi dalam menentukan kualiti dan standard permohonan yang akan dibuka pada 30 Jun depan untuk pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

Jelasnya, semua permohonan kemasukan ke IPTA akan diproses berdasarkan prinsip meritokrasi, syarat kelayakan akademik, serta tertakluk kepada penilaian dan keputusan Senat Universiti

Related Posts

JPA buka permohonan Dermasiswa B40 untuk lepasan SPM 2025

PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuka permohonan Program Dermasiswa B40 (DB40) Tahun 2026 kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang berhasrat melanjutkan pengajian…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Sistem KLIA perlu diperkasa secara holistik, pragmatik

PUTRAJAYA – Terdapat keperluan untuk menubuhkan pasukan siasatan bebas dalam menyiasat  penyeludupan dadah membabitkan seorang pembantu juruterbang tempatan bagi menilai semula keseluruhan prosedur sedia ada. Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW),…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Harga runcit petrol, diesel tanpa subsidi turun 5 sen seliter

  • By Aden
  • August 5, 2026
Harga runcit petrol, diesel tanpa subsidi turun 5 sen seliter

Penemuan kedua tulang dalam guni cetus persoalan

Penemuan kedua tulang dalam guni cetus persoalan

Cik Man meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung

Cik Man meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung

Kerajaan percepat proses 15,000 permohonan pekerja asing bantu sektor ekonomi

Kerajaan percepat proses 15,000 permohonan pekerja asing bantu sektor ekonomi

Bangunan warisan Georgetown perlu diaudit secara sistematik demi keselamatan

Bangunan warisan Georgetown perlu diaudit secara sistematik demi keselamatan

Rumah dibeli terbengkalai, suami isteri tanggung sewa dan pinjaman serentak

Rumah dibeli terbengkalai, suami isteri tanggung sewa dan pinjaman serentak