
KUCHING – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong Wui Wui memohon pertimbangan kerajaan Sarawak untuk memberikan penjelasan lebih terperinci berhubung struktur dan pelaksanaan program Pendekatan Transformasi Pekerja Asing Sarawak (FWTA).
Berucap pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Khamis, beliau berkata, pencerahan mengenai mekanisme program yang menggunakan model Perkongsian Awam Swasta (PPP) itu adalah penting bagi menonjolkan imej ketelusan pentadbiran kewangan negeri.
Menurut Violet, sejak sistem FWTA dilaksanakan pada 15 Januari 2025, majikan yang ingin menggaji pekerja asing perlu mengeluarkan kos sebanyak RM1,854 bagi setiap pekerja, di mana jumlah tersebut mencecah RM2,002.32 selepas mengambil kira Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Berdasarkan angka rasmi, dari Januari hingga Disember 2025, sebanyak 106,242 kelulusan telah dikeluarkan. Ini bermakna, dianggarkan hampir RM200 juta telah berjaya dikutip menerusi program ini dalam tempoh tersebut.
“Sehubungan itu, adalah wajar sekiranya kita dapat mengetahui perincian mengenai pembahagian hasil kutipan ini antara kerajaan negeri dan pihak swasta yang terlibat. Rakyat dan pemegang taruh ingin tahu apakah nisbah pembahagiannya, sama ada 20-80, 30-70, atau 40-60,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai proses transaksi, Violet turut membangkitkan persoalan mengenai kaedah pembayaran majikan yang difahamkan tidak disalurkan terus kepada akaun Kerajaan Negeri Sarawak, sebaliknya melalui sebuah platform penyelesaian pembayaran pihak ketiga (payment gateway).
Dalam pada itu, beliau memohon kerajaan negeri agar dapat mengulas mengenai status sebuah syarikat swasta berpangkalan di Kuching yang kebetulan berkongsi akronim yang sama dengan nama program berkenaan.
Jelasnya, pencerahan mengenai latar belakang serta kaitan syarikat tersebut dengan program FWTA amat dialu-alukan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, memandangkan ia melibatkan pengurusan dana yang agak besar pada setiap tahun.
“Kita amat memahami dan menyokong langkah menaik taraf sistem pengurusan pekerja asing ke arah yang lebih baik.
“Namun begitu, kita berharap penambahbaikan sistem ini diseimbangkan dengan struktur kos yang berpatutan agar tidak membebankan sektor industri, selain memastikan tadbir urus kewangan kekal terbuka,” ujar beliau.
Foto: Facebook Violet Yong




