
KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam membangunkan inovasi teknologi pemadaman kebakaran bateri litium bagi menangani cabaran baharu yang semakin kompleks seiring perkembangan teknologi moden.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, kolaborasi itu membuka ruang luas kepada perkongsian kepakaran antara akademia dan agensi kerajaan dalam menghasilkan penyelesaian berasaskan sains dan teknologi.
“UMS komited memastikan setiap kerjasama strategik diterjemahkan melalui pelaksanaan program yang mampu memperkasa pembangunan modal insan serta meningkatkan tahap keselamatan awam.
“Kerjasama ini merupakan langkah proaktif dalam merapatkan jurang antara penyelidikan akademik dan aplikasi praktikal, sekali gus memacu inovasi teknologi pemadaman kebakaran yang lebih responsif terhadap cabaran semasa,” katanya dalam kenyataan media, di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Pengarah Bomba Malaysia, Datuk Seri Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, MoU tersebut memberi fokus kepada pembangunan teknologi media pemadaman yang lebih efektif dan mampan, khususnya dalam menghadapi risiko kebakaran melibatkan bateri litium ion.
“Cabaran kebombaan masa kini semakin kompleks dengan kemunculan risiko baharu seperti kebakaran melibatkan kenderaan elektrik (EV), pusat data serta peranti teknologi hijau.
“Melalui kerjasama ini, kita akan meneroka kaedah pemadaman yang lebih berkesan dan saintifik bagi mendepani ancaman kebakaran moden secara lebih efisien,” jelasnya selepas memetrai Memorandum Persefahaman (MoU) tersebut di Bangunan Canselori UMS, pada Khamis.
Tambah Nor Hisham, selain pembangunan teknologi pemadaman, kerjasama tersebut turut merangkumi pertukaran tenaga pengajar, latihan kepakaran serta kolaborasi akademik dalam bidang kejuruteraan perlindungan kebakaran dan keselamatan.
“Kedua-dua pihak juga memberi penekanan terhadap penggunaan teknologi baharu seperti robotik, dron dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan operasi kebombaan di lapangan.
“JBPM turut menganugerahkan geran penyelidikan bernilai RM100,000 kepada UMS bagi menjalankan kajian berkaitan operasi pemadaman kebakaran tanah gambut serta keberkesanan pengoperasian di lapangan.
“Kajian ini dijangka membantu mempertingkat strategi pemadaman kebakaran secara lebih sistematik, khususnya dalam menangani kebakaran tanah gambut yang memberi kesan besar terhadap alam sekitar,” kongsinya.
Tambahnya lagi, MoU berkenaan menandakan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh penyelidikan serta pemindahan teknologi berimpak tinggi dan turut melibatkan pembangunan dokumen operasi seperti Pre-Incident Plan (PIP) dan Incident Action Plan (IAP), sekali gus memperkukuh pemindahan teknologi kepada anggota JBPM, khususnya di Sabah dan Sarawak.





