
KUNAK – Pemimpin akar umbi berperanan sebagai jambatan utama dalam menyampaikan pelbagai inisiatif kerajaan kepada rakyat di samping menjadi suara masyarakat dalam menyuarakan keperluan dan isu setempat.
Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Milus Alu @ Abd Wahab berkata, ia selari dengan tanggungjawab yang digalas sebagai ‘Key Communicator’ (KAWAN).
“Inilah peranannya sebagai mata dan telinga kerajaan dengan segera melaporkan masalah kemudahan asas di kawasan masing-masing supaya tindakan dapat diambil dengan cepat.
“Kerajaan Persekutuan telah memberikan komitmen penuh menyelesaikan isu pembangunan di Sabah selain tuntutan hak negeri secara berperingkat demi kesejahteraan rakyat.

“Isu di Sabah kita mahu ada tindakan segera dan Perdana Menteri bermati-matian ingin menyelesaikan ini, walau bagaimanapun ia perlu dilaksanakan secara ‘step by step.
“Isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah juga perlu dilihat dari sudut teknikal dan dilaksanakan secara realistik agar penyelesaian dapat dicapai melalui kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan,” ujarnya semasa berucap pada program KAWAN di NADI Pekan Kunak, pada Jumaat.
Pada program itu, peserta turut diberi pendedahan dengan Kempen Internet Selamat oleh pihak NADI agar para peserta dapat melindungi maklumat peribadi seperti nombor telefon, kata laluan dan akaun bank daripada jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan Kampung Hampilan Siti Asnah Lajamurah, menzahirkan penghargaan kepada JKOM atas perkongsian maklumat bagi memberi penerangan dasar kerajaan kepada masyarakat.
“Melalui program ini kami jelas dengan peranan kami, banyak maklumat terkini dan inisiatif kerajaan untuk rakyat yang ramai lagi kurang maklum misalnya bantuan-bantuan untuk usahawan.
“Oleh itu perkongsian maklumat ini dapat saya sampaikan kepada komuniti di Kampung dengan sebaiknya mengenai cara memohon dan lain-lain,” katanya.

Bagi Setiausaha JKK Kampung Kasnuri, Eqah Qhalelah Ismail, dia berharap agar program seumpamanya akan diteruskan bagi memastikan setiap masyarakat luar bandar tidak terpinggir daripada mendapat maklumat baharu dasar kerajaan.
“Ini amat penting bagi saya kerana kami di Kunak ini luar bandar. Apa-apa pengumuman kerajaan kami juga perlu tahu supaya kami faham dan terus menyokong inisiatif pelaksanaannya,” kongsinya




