KUALA LUMPUR – Malaysia berada pada kedudukan yang agak kukuh dalam mendepani krisis sisi bekalan global ekoran ketegangan geopolitik di Asia Barat, hasil status negara sebagai pengeluar minyak dan gas serta pemilikan kapasiti penapisan domestik yang mampan.
Penasihat Ekonomi Kanan di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Nurhisham Hussein berkata, kelebihan struktur itu memberikan Malaysia penampan bekalan yang lebih baik berbanding negara jiran seperti Australia, yang terpaksa mencari alternatif luar akibat kekurangan fasiliti penapisan tempatan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa situasi semasa tidak bermakna negara sudah bersedia sepenuhnya, memandangkan Malaysia bukan ahli Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan tidak memiliki rizab strategik seperti negara anggota Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
“Jun sudah diselesaikan, manakala bekalan untuk Julai kini berada pada tahap 70 hingga 80 peratus untuk dimuktamadkan. Petronas yang menguasai kira-kira 50 peratus pasaran domestik telah memberikan komitmen untuk menampung baki keperluan jika berlaku sebarang kekurangan oleh syarikat minyak lain,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama stesen radio BFM.
Menurut Nurhisham, kerajaan menggariskan tiga keutamaan kritikal dalam menguruskan krisis berperingkat ini, iaitu bahan api, makanan, dan ubat-ubatan.
Bagi sektor kesihatan, penilaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan stok ubat-ubatan utama negara berada pada paras selamat untuk tempoh lima hingga enam bulan, meliputi simpanan di peringkat runcit, pengedaran, dan pengeluaran.
Sektor makanan juga dilaporkan stabil secara bulanan sehingga penghujung tahun ini melalui pemantauan mingguan yang ketat.
Meskipun begitu, beliau melahirkan kebimbangan terhadap impak jangka panjang dalam sektor pertanian berikutan risiko gangguan rantaian bekalan baja global.
“Sekitar 90 peratus baja digunakan untuk industri sawit dan selebihnya untuk makanan. Kekurangan bahan mentah global seperti ammonia kalium dijangka memberi kesan ketara kepada sektor ini menjelang hujung tahun atau awal tahun depan,” jelas beliau.
Mengulas mengenai gangguan pasaran minyak dunia, Nurhisham mendedahkan bahawa sekitar 12 hingga 13 juta tong minyak sehari kini terjejas akibat penutupan telaga secara kekal sementara (shut in) di Timur Tengah. Proses normalisasi bekalan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan selepas konflik berakhir.
Sektor pembuatan dan pembinaan dikenal pasti sebagai segmen yang paling terkesan akibat rantaian impak petrokimia, khususnya bekalan bahan mentah seperti plastik, nilon, dan poliester.
Kerajaan kini giat membantu industri terlibat mencari pembekal alternatif, meskipun berdepan cabaran logistik dan tempoh penghantaran yang lebih lama.
Bagi mengurangkan beban aliran tunai perniagaan, kerajaan menyediakan sokongan kewangan termasuk penstrukturan semula pinjaman bernilai RM1 bilion serta kemudahan bantuan Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM5 bilion, selain pelbagai subsidi bersasaran.
Nurhisham mengingatkan orang ramai bahawa situasi mencabar ini merupakan krisis sisi bekalan yang tidak boleh diselesaikan dengan suntikan kewangan semata-mata, sebaliknya menuntut pengurusan penggunaan yang berhemah.
“Ini ialah krisis bekalan, bukan krisis permintaan. Strategi utama kerajaan adalah memastikan bekalan asas sentiasa ada dan menguruskan penggunaan secara bijak. Kita tidak mahu berlakunya pembelian panik atau aktiviti menyorok barang. Kita perlu kembali kepada semangat ‘Kita Jaga Kita’ seperti era pandemik dahulu,” katanya lagi.




