Oleh: S.Abdullah dan Don Mikael
SEREMBAN – Majlis Belia Malaysia, (MBM) menerima peruntukan sebanyak RM5 juta sebagai usaha memperkukuh peranan organisasi itu dalam memperjuangkan agenda pembangunan golongan belia di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, MBM mempunyai peranan besar dalam menggerakkan suara dan aspirasi anak muda selaras dengan fungsi persatuan belia di bawah (KBS).
Menurut beliau, sokongan tambahan sedemikian penting dalam memastikan pelbagai program pembangunan belia dapat terus diperkasakan secara holistik dan pragmatif.
“Majlis Belia Malaysia, satu-satunya persatuan belia di bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan, memainkan peranan menyokong pelbagai program pembangunan golongan muda.
“Justeru, saya bersetuju supaya peruntukan kepada MBM ditambah kepada RM5 juta,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Belia Negara 2026 di Bandar Sri Sendayan, Seremban, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan golongan muda supaya terus mempertahankan prinsip idealisme dan nilai akhlak dalam kehidupan serta perjuangan mereka.
Beliau berkata, anak muda perlu mempunyai keberanian untuk berfikir secara kritis dan menegur kepimpinan, termasuk Perdana Menteri, namun setiap pandangan perlu disampaikan secara berprinsip dan berhemah.
“Anak muda boleh menegur kerajaan dan Perdana Menteri, tetapi mestilah berasaskan prinsip, keyakinan serta nilai akhlak yang baik.
“Kerajaan komited akan memastikan agenda pembangunan belia terus diberi perhatian,sejajar usaha melahirkan generasi muda yang progresif serta menjadi penyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Dalam majlis sama, Anwar turut mengumumkan Peruntukan Pembangunan Syiar Islam yang akan memberi manfaat kepada 7,091 guru-guru KAFA, imam masjid kariah, guru takmir serta petugas masjid dengan keseluruhan implikasi kewangan berjumlah RM42.3 juta.
Selain itu, sokongan turut merangkumi institusi pendidikan Islam seperti pondok, maahad tahfiz, sekolah agama serta premis KAFA yang beroperasi di luar seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dengan peruntukan sebanyak RM5.4 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan pengukuhan institusi.



