LKIM perkasa nelayan Pengerang, salur bantuan dan peruntukan lebih RM800,000

PENGERANG – Seramai 33 nelayan di bawah seliaan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pengerang menerima pelbagai bantuan peralatan menangkap ikan menerusi program Rahmah Mesra Madani anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi memperkukuh produktiviti dan sosioekonomi komuniti nelayan tempatan.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan menerusi agenda Malaysia MADANI dalam memastikan kebajikan nelayan terus dipelihara selain menjamin bekalan ikan negara kekal mencukupi.

Menurut beliau, bantuan disalurkan melalui Program Peningkatan Produktiviti Nelayan B40 yang diperuntukkan sebanyak RM3 juta menerusi Belanjawan 2026 dan diagihkan secara adil ke seluruh negara.

“Johor menerima peruntukan RM250,000 manakala bagi PNK Pengerang, LKIM memperuntukkan RM26,900 melibatkan bantuan enjin 40 kuasa kuda dan pukat kepada nelayan terpilih,” katanya ketika berucap dalam program Rahmah Mesra Madani LKIM Bersama Nelayan Pengerang, hari ini.

Beliau berkata, selain bantuan tersebut, LKIM turut memperuntukkan RM50,000 di bawah Program Peningkatan Pendapatan (Insentif Peralatan Penangkapan Ikan) melibatkan pemberian enjin bot, pukat, jaket keselamatan dan tong ikan berinsulasi kepada 30 lagi nelayan.

Katanya, pemberian bantuan atau touch point itu bertujuan meningkatkan kecekapan dan kemahiran nelayan selain membantu mereka menjana pendapatan lebih baik melalui peningkatan hasil tangkapan.

“Usaha ini juga penting bagi memastikan bekalan ikan kepada rakyat sentiasa mencukupi dan terjamin,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan komuniti nelayan supaya menjaga integriti dalam pengurusan subsidi minyak serta insentif kerajaan agar tiada berlaku penyelewengan atau keciciran.

Faiz turut menegaskan kepentingan persatuan nelayan menguasai keseluruhan rantaian industri perikanan termasuk pemasaran, akuakultur dan sektor hiliran menerusi agenda 1 Persatuan 1 Produk (1P1P) berteraskan reformasi 4P iaitu pulih, progresif, perkasa dan pintar.

Dalam perkembangan berkaitan, LKIM turut memperuntukkan RM100,000 bagi kerja membaik pulih infrastruktur projek Nelayan Beach Resort milik PNK Pengerang di bawah Program Pembangunan Projek Ekonomi Nelayan.

Selain itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) turut menyalurkan RM260,000 bagi pembinaan dewan dan pagar, manakala RM100,000 lagi diperuntukkan untuk program pengembangan projek ikan sangkar.

LKIM juga menyalurkan RM35,000 bagi menyokong projek ekonomi Kunita Pasir Gogok sebagai usaha memperkasa ekonomi komuniti nelayan setempat.

Terdahulu, beliau turut melawat Kompleks Perikanan LKIM Pengerang serta jeti pendaratan ikan sepanjang 180 meter yang dibina dengan kos RM41 juta selain meninjau pembinaan jeti nelayan di Kampung Telok Sengat bernilai RM242,500.

Menurut beliau, fasiliti perikanan yang lebih moden dan selesa dijangka mampu meningkatkan jumlah tangkapan serta pendaratan ikan di kawasan Pengerang.

Untuk rekod, jumlah pendaratan ikan di Johor pada tahun 2025 direkodkan sebanyak 25,348 metrik tan, sekali gus menjadikan negeri itu antara penyumbang utama sektor perikanan negara.

PNK Pengerang kini mempunyai 732 ahli termasuk 558 nelayan tulen, dengan 306 vesel beroperasi selain ratusan penerima elaun sara hidup dan subsidi minyak.

Dalam usaha meningkatkan taraf hidup komuniti nelayan, sebanyak 222 rumah turut dibaik pulih di bawah Program Khas Perumahan Nelayan bagi tempoh 2012 hingga 2024.

Faiz berkata, komitmen LKIM bersama Kerajaan Perpaduan akan terus diperkasa demi memastikan kebajikan nelayan dan keterjaminan makanan negara terus menjadi agenda utama kerajaan.

Related Posts

Empat warga China direman selepas cuba rempuh polis di Kuala Perlis

KANGAR – Empat lelaki warga China direman sehingga 18 Mei ini selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah serta cuba merempuh anggota polis dalam kejadian di Kuala Perlis, kelmarin. Ketua…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kanak-kanak 2 tahun jatuh dari tingkat lima PPR Bandar Uda Utama masih kritikal

JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun kini bertarung nyawa selepas dipercayai terjatuh dari tingkap sebuah unit kediaman di tingkat lima Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandar Uda Utama,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Empat warga China direman selepas cuba rempuh polis di Kuala Perlis

Empat warga China direman selepas cuba rempuh polis di Kuala Perlis

Kanak-kanak 2 tahun jatuh dari tingkat lima PPR Bandar Uda Utama masih kritikal

Kanak-kanak 2 tahun jatuh dari tingkat lima PPR Bandar Uda Utama masih kritikal

ARPA jana penjimatan RM2.72 bilion melalui reformasi birokrasi

ARPA jana penjimatan RM2.72 bilion melalui reformasi birokrasi

Dakwaan kerajaan P.Pinang jual 365 rumah murah kepada warga China tidak tepat

Dakwaan kerajaan P.Pinang jual 365 rumah murah kepada warga China tidak tepat

Konvensyen PH 2026 jadi medan perkukuh kesiapsiagaan politik gabungan

Konvensyen PH 2026 jadi medan perkukuh kesiapsiagaan politik gabungan

LKIM perkasa nelayan Pengerang, salur bantuan dan peruntukan lebih RM800,000

LKIM perkasa nelayan Pengerang, salur bantuan dan peruntukan lebih RM800,000