
KUCHING – Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menafikan kesahihan gambar berkaitan Jambatan Batang Lupar 1 yang tular di media sosial dan mengesahkan imej berkenaan adalah palsu.
JKR Sarawak dalam kenyataan media hari ini berkata pihaknya mengambil maklum mengenai penyebaran gambar tersebut yang telah dikongsikan di pelbagai platform media sosial.
“Untuk makluman orang awam, gambar tersebut adalah palsu,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang gambar, maklumat atau kandungan yang belum disahkan kesahihannya bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham.
Tambah kenyataan itu lagi, orang ramai disaran merujuk laman media sosial rasmi JKR Sarawak bagi mendapatkan berita rasmi serta pengesahan maklumat berkaitan projek pembangunan di Sarawak yang berada di bawah tanggungjawab jabatan berkenaan.






