
SANDAKAN – Sabah Electricity menyertai operasi bersepadu berskala besar yang diketuai Suruhanjaya Tenaga Sabah pada 22 dan 23 April lalu di dua penempatan setinggan di daerah ini dalam usaha membanteras aktiviti pencurian serta penyalahgunaan bekalan elektrik.
Menurut kenyataan yang dikongsi menerusi laman Facebook Sabah Electricity Careline, operasi tersebut digerakkan secara menyeluruh dengan penglibatan lebih 50 pegawai penguat kuasa.

“Operasi bersepadu daripda pelbagai agensi ini mencerminkan komitmen bersepadu dalam mengekang kegiatan tidak sah yang boleh menjejaskan keselamatan dan kestabilan bekalan elektrik di kawasan terlibat.
“Pengguna kini boleh membuat aduan serta semakan berkaitan perkhidmatan menerusi aplikasi baharu mySE+ yang tersedia untuk dimuat turun di platform Apple App Store dan Google Play Store.

“Kerjasama semua pihak amat dihargai demi keselamatan bersama,” menurut kenyataan itu, pada Rabu.
Antara agensi yang terlibat adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Jabatan Air Sabah (JANS) serta Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT).




