
LUMUT – Penduduk Pulau Pangkor kini menikmati kemudahan kesihatan yang lebih moden, selesa dan menyeluruh apabila Klinik Kesihatan Pulau Pangkor baharu (Jenis 4) mula beroperasi sepenuhnya sejak 19 Januari lalu.
Pembukaan fasiliti kesihatan baharu itu dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan primer di kawasan pulau, sekali gus memenuhi keperluan rawatan penduduk setempat serta peningkatan jumlah pelancong yang berkunjung ke destinasi pelancongan terkenal itu setiap tahun.
Menurut Pejabat Kesihatan Daerah Manjung, kewujudan klinik baharu berkenaan bukan sahaja meningkatkan akses komuniti terhadap rawatan kesihatan berkualiti, malah memperkukuh kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan awam di Pulau Pangkor.

“Dengan kemudahan yang lebih lengkap dan moden, klinik ini mampu meningkatkan kecekapan penyampaian rawatan selain mengurangkan kebergantungan terhadap hospital di tanah besar bagi kes ringan dan sederhana,” menurut kenyataan itu.
Klinik Kesihatan Jenis 4 tersebut menawarkan pelbagai perkhidmatan utama termasuk rawatan pesakit luar, unit kecemasan dan trauma, kesihatan ibu dan anak, farmasi, makmal, radiologi, fisioterapi, pemulihan cara kerja serta perkhidmatan kaunseling.

Pembinaan klinik baharu itu melibatkan kos keseluruhan RM24.27 juta menerusi peruntukan pembangunan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi negeri Perak.
Skop pembangunan merangkumi pembinaan bangunan klinik baharu lengkap dengan pelbagai peralatan perubatan dan bukan perubatan moden bagi memastikan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan berada pada tahap terbaik.
Untuk rekod, bangunan klinik tersebut siap sepenuhnya pada 13 Oktober 2025 sebelum diserahkan secara rasmi kepada Jabatan Kesihatan Negeri Perak pada Disember tahun sama.
Tambah kenyataan itu, Klinik Kesihatan Jenis 4 direka bagi mengendalikan antara 150 hingga 300 pesakit sehari berdasarkan kepadatan penduduk dan keperluan kawasan liputan, sekali gus sesuai untuk komuniti sederhana besar termasuk kawasan pulau seperti Pulau Pangkor.
“Kewujudan fasiliti ini turut meningkatkan keyakinan pelancong terhadap kesiapsiagaan kemudahan kesihatan di destinasi pelancongan utama negeri.
“Perkhidmatan yang diberikan berorientasikan pesakit dengan penekanan terhadap aspek keselamatan, keselesaan serta kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh dan berterusan,” jelas kenyataan itu.






