
MUKAH – Lima buruh ladang sawit warga tempatan ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah di kawasan Bukit Kerangan, Sungai Kua, Selangau pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 32 hingga 46 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah pada jam 12.30 tengah hari.
Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, kelima-lima lelaki terbabit ditemui berada di dalam sebuah kenderaan jenis pikap yang diletakkan di bahu jalan di kawasan berkenaan.
“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, salah seorang suspek cuba melupuskan bukti dengan bertindak mencampakkan sekotak rokok ke dalam semak berhampiran.
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut yang dijalankan berjaya menemui dua keratan tiub straw berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 0.86 gram di dalam kotak rokok tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, Muhamad Rizal memberitahu, hasil ujian saringan awal air kencing turut mengesahkan kesemua lelaki tersebut positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Tambah beliau, kesemua suspek kini dikenakan perintah reman selama empat hari sehingga 16 Mei ini untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.



