
KUALA LUMPUR – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun telah merasmikan Sistem e-Tanah Negeri Sembilan yang berlangsung di Le Méridien Kuala Lumpur, sekali gus menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri Sembilan dalam memperkukuh agenda pendigitalan perkhidmatan awam di negeri tersebut.
Dalam ucapannya, Aminuddin menegaskan bahawa peningkatan kompleksiti pengurusan tanah menuntut kepada sebuah sistem yang lebih cekap, bersepadu dan berteraskan teknologi moden.
“Pelaksanaan Sistem e-Tanah di Negeri Sembilan disifatkan sebagai langkah strategik dan signifikan dalam mentransformasikan tadbir urus tanah ke arah yang lebih moden, berintegriti serta responsif terhadap keperluan rakyat dan para pelabur.
“Kerajaan negeri sentiasa komited memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam khususnya dalam sektor pentadbiran tanah yang menjadi tunjang kepada pembangunan ekonomi negeri, dalam era digital yang semakin berkembang pesat ini” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan sistem ini bergantung kepada komitmen dan kerjasama semua pihak, termasuk agensi kerajaan serta rakan strategik yang terlibat.
Menurutnya, sistem e-Tanah bukan sahaja mempercepatkan urusan, malah meningkatkan ketelusan, kecekapan serta keselamatan pengurusan data tanah demi manfaat rakyat dan pembangunan negeri.
Dalam majlis yang sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) serta Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS). Menurut beliau, kerjasama erat antara sektor awam dan swasta menjadi tunjang utama dalam merealisasikan pelaksanaan sistem tersebut.




