PUTRAJAYA – Tuduhan tanpa asas terhadap sahabat Nabi Muhammad SAW adalah perbuatan yang tidak beradab dan boleh membawa kepada fitnah terhadap tokoh yang dimuliakan dalam agama Islam.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, dakwaan Abu Bakar al-Siddiq merupakan seorang ceti dan Umar al-Khattab adalah penzina pada zaman Jahiliyyah merupakan tuduhan yang berat serta tidak wajar diungkapkan secara sewenang-wenangnya.
Menurut beliau, kedudukan Abu Bakar dalam kalangan masyarakat Quraisy sebelum kedatangan Islam sememangnya sangat mulia dan dihormati orang ramai, di samping diberi tanggungjawab menguruskan hal berkaitan diyat serta membantu individu yang dibebani hutang.
“Tanggungjawab itu merangkumi usaha mengumpulkan bayaran diyat untuk diserahkan kepada keluarga mangsa serta membantu melunaskan hutang golongan menghadapi kesempitan kewangan. Amanah besar ini menunjukkan bahawa Saidina Abu Bakar merupakan seorang dipercayai masyarakat kerana sifat amanah, pemurah dan prihatin terhadap kebajikan orang lain.
“Kisah ini jelas menggambarkan bahawa Saidina Abu Bakar RA bukanlah seorang ceti atau peminjam wang sebagaimana yang didakwa. Sebaliknya, beliau merupakan tokoh penting dalam masyarakat Quraisy yang memainkan peranan menjaga kebajikan sosial dan membantu golongan yang memerlukan.
“Sifat dermawan beliau terhadap masyarakat juga menjadi antara sebab mengapa beliau dihormati sebelum Islam dan seterusnya diangkat sebagai sahabat paling rapat dengan Rasulullah SAW setelah memeluk Islam,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Mengulas lanjut, Ahmad Fauwaz menegaskan, tidak ditemui dalam perbahasan ulama mahupun sejarawan Islam yang muktabar berkaitan riwayat yang menggambarkan Umar al-Khattab sebagai seorang penzina atau memiliki akhlak sedemikian.
“Antara kisah yang sering tersebar ialah dakwaan bahawa beliau pernah menanam anak perempuannya hidup-hidup. Namun begitu, ramai sejarawan dan ulama hadis menjelaskan bahawa riwayat tersebut tidak mempunyai sandaran yang kukuh malah dianggap palsu.
“Hal ini turut diperkuatkan dengan fakta bahawa Saidina Umar sendiri mempunyai anak perempuan yang bernama Saidatina Hafsah dan menunjukkan bahawa dakwaan tersebut tidak berasas,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Fauwaz menyeru umat Islam hendaklah menjaga adab dalam membicarakan sahabat Rasulullah SAW serta menolak segala tuduhan dan fitnah yang tidak berasaskan fakta agar tidak menimbulkan fitnah dan kekeliruan dalam masyarakat.
Katanya, sahabat Rasulullah SAW bukan tempat untuk dijadikan bahan penghinaan atau kerendahan, malah Baginda sangat memuliakan sahabat, sehingga sesiapa yang menyakiti mereka dianggap seolah-olah telah menyakiti dirinya sendiri, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Mughaffal.
“Rasullulah bersabda yang bermaksud ‘Takutlah kepada Allah dalam urusan para sahabatku, takutlah kepada Allah dalam urusan para sahabatku. Janganlah kamu menjadikan mereka sasaran (celaan dan kebencian) selepas kewafatanku. Sesiapa yang mencintai mereka, maka dengan kecintaanku dia mencintai mereka.
“Sesiapa yang membenci mereka, maka dengan kebencianku dia membenci mereka. Sesiapa yang menyakiti mereka, maka sesungguhnya dia telah menyakitiku. Dan sesiapa yang menyakitiku, maka sesungguhnya dia telah menyakiti Allah. Sesiapa yang menyakiti Allah, maka hampir-hampir Dia akan menimpakan balasan ke atasnya,” kata Ahmad Fauwaz yang turut berkongsikan hadis Rasulullah SAW.
Tambah beliau, walaupun terdapat kisah dan riwayat yang menceritakan kehidupan sahabat sebelum memeluk Islam, namun Islam datang membawa rahmat dengan menghapuskan dosa dan kesalahan lampau setelah mereka beriman.
“Sebab itu, tidak wajar jadikan kisah zaman Jahiliah sebagai bahan menggambarkan keburukan dan boleh mendatangkan fitnah terhadap sahabat Nabi SAW, apatah lagi Abu Bakar dan Umar yang telah dimuliakan Allah SWT. Bahkan menurut pegangan Ahlus Sunnah wal Jamaah, mereka merupakan manusia terbaik selepas nabi dan rasul,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Fauwaz berpandangan, keperluan untuk semua pihak merujuk kepada sumber-sumber muktabar dan pandangan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah dalam memahami sejarah sahabat, selain memelihara adab dan kehormatan golongan itu dalam setiap ucapan, penulisan dan penyampaian.
“Hindari ucapan berbentuk penghinaan, celaan, tuduhan atau sindiran terhadap mana-mana sahabat Nabi SAW, di samping tidak menyampaikan kisah zaman Jahiliyyah sahabat dengan cara yang boleh mendatangkan fitnah. Meneliti kesahihan riwayat sebelum menyampaikan sesuatu kisah berkaitan para sahabat.
“Ini khususnya riwayat yang berunsur sensasi atau kontroversi.Bersikap adil dan amanah dalam menyampaikan sejarah Islam tanpa dipengaruhi sentimen kebencian atau kepentingan tertentu. Gunakan bahasa yang hikmah, sederhana dan mendidik ketika menjelaskan isu-isu sejarah berkaitan para sahabat Nabi SAW,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan empat sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib mempunyai sejarah hidup yang keji sebelum memeluk Islam.
Antara lain beliau mendakwa Sayidina Abu Bakar sebagai seorang ‘bapa ceti’ yang gemar memeras orang miskin semasa berada dalam zaman Jahiliyah, Sayidina Umar pula digambarkannya sebagai lelaki yang zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.
Difahamkan kenyataan itu disampaikan bekas Ketua Dewan Ulamak Pas itu dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu, pada hujung minggu lalu.






