
KOTA KINABALU – Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah, Profesor Madya Datin Dr Norkiah Arsat dinobatkan sebagai Tokoh Jururawat Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2026 sempena Sambutan Hari Jururawat Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre pada Selasa.
Dalam satu kenyataan, UMS memaklumkan pengiktirafan itu mengangkat nama universiti berkenaan serta Sabah di peringkat kebangsaan menerusi sumbangan besar Norkiah dalam bidang pendidikan kejururawatan.
“Norkiah mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam profesion kejururawatan meliputi perkhidmatan klinikal, kebidanan, kesihatan awam, pendidikan kejururawatan, psikologi dan kaunseling memulakan kerjaya dalam perkhidmatan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum meneruskan sumbangan dalam bidang akademik di UMS.
“Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah berkhidmat di beberapa fasiliti kesihatan termasuk Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Duchess of Kent selain institusi latihan kesihatan dan kolej kejururawatan.
“Di UMS, Norkiah memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan kejururawatan menerusi pengajaran, penyelidikan dan penyeliaan pelajar selain pernah memegang jawatan Ketua Jabatan Kejururawatan bagi beberapa penggal,” katanya.
Tambah kenyataan berkenaan, beliau juga disifatkan sebagai antara individu yang membuka laluan kepada jururawat Sabah melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi ketika peluang akademik dalam bidang itu masih terhad.
“Norkiah turut memperluas kepakaran dalam bidang psikologi kaunseling dan penyelidikan sehingga menjadi inspirasi kepada ramai jururawat untuk menjadikan pendidikan tinggi sebagai platform meningkatkan martabat profesion kejururawatan.
“Beliau turut memainkan peranan penting dalam pembangunan organisasi profesional kejururawatan di Sabah apabila menjadi pengasas penubuhan Persatuan Jururawat Malaysia Cawangan Sabah selain pernah memimpin cawangan itu sebagai pengerusi dari 2019 hingga 2023,” kongsi kenyataan tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Jururawat Malaysia Cawangan Sabah, Dr Deena Clare Thomas berkata, pengiktirafan tersebut merupakan penghormatan besar kepada warga kejururawatan Sabah khususnya pendidik jururawat yang banyak menyumbang kepada sistem kesihatan negara.
“Pengiktirafan ini amat wajar kerana sumbangan beliau merangkumi aspek pendidikan, penyelidikan, kepimpinan profesional dan pembangunan organisasi kejururawatan.
“Penganugerahan itu bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada UMS dan Sabah tetapi turut membawa mesej penting mengenai peranan pendidikan kejururawatan dalam membentuk masa depan penjagaan kesihatan negara,” ujarnya.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Datuk Hanifah Hajar Taib dalam program anjuran Persatuan Jururawat Malaysia yang menghimpunkan warga kejururawatan dari seluruh negara.





