
KUCHING – Langkah kerajaan negeri mewartakan tujuh kawasan tanah kerajaan bagi pembangunan penanaman padi secara menyeluruh, dilihat mampu memperkukuh agenda keterjaminan makanan di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, usaha tersebut perlu diperluaskan dengan mengenal pasti lebih banyak kawasan berpotensi bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran beras pada masa hadapan.
Menurutnya, kawasan Kampung Kaba dan Sungai Nyiar di Roban dalam DUN Kalaka mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai kawasan pengeluaran padi moden berteknologi tinggi.
Jelas beliau, lebih 30 hektar kawasan di Kampung Kaba telah dikenal pasti untuk dijadikan projek perintis pengeluaran padi berskala besar menggunakan teknologi moden.
“Kerajaan Sarawak menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) telah memperuntukkan RM4.8 juta bagi menjayakan pembangunan ini, termasuk pembinaan kilang pemprosesan beras, sistem pengairan serta kemudahan utiliti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Tambah Mohamad, pembangunan berkenaan dijangka mampu meningkatkan hasil tuaian sehingga lima kali ganda dalam tempoh dua tahun, sekali gus berpotensi menjadi model jelapang padi moden di kawasan luar bandar.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak sebagai satu langkah penting bagi merancang, menyelaras dan memperkukuh pembangunan industri padi negeri secara menyeluruh melibatkan aspek dasar, pelaksanaan serta pemantauan.
Tegasnya, terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan tahap sara diri (SSR) beras negara yang kini dianggarkan sekitar 53 peratus, dengan cara memperluaskan lagi kawasan penanaman padi di Sarawak.
Selain itu, katanya, penggunaan teknologi moden seperti dron pertanian, sistem pengairan pintar, Internet of Things (IoT) dan automasi perlu diperkasa bagi meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos operasi sektor pertanian.
“Dengan perancangan yang konsisten dan berkesan, Sarawak bukan sahaja mampu mencapai tahap sara diri beras, malah berpotensi muncul sebagai hab pengeluaran beras moden utama di rantau ini,” ujarnya.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak




