KUANTAN – Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam membidas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, Nazri Ahmad yang didakwa cuba mengelirukan rakyat berhubung pelaksanaan projek Skim Tanah Rakyat (STR) FELDA Pahang.
Beliau berkata, kenyataan itu tidak tepat dan berkemungkinan merujuk kepada skim lain yang tidak melibatkan STR FELDA Pahang.
“STR (FELDA Pahang) tidak dilaksanakan lagi pihak Pejabat Tanah dan Galian dan FELDA kerana 21 Mei adalah penyelarasan untuk kerja pemetaan (mapping). Jadi bagaimana peneroka dan anak peneroka boleh membuat laluan sendiri di situ.
“Kenyataan ADUN Bukit Ibam ini boleh mengelirukan masyarakat. Itu mungkin skim lain dan bukan STR FELDA Pahang,” katanya, lapor Pahang Media.
Amizar berkata demikian ketika menjawab perbahasan Nazri pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Terdahulu, Nazri mendakwa pelaksanaan STR FELDA Pahang berjalan perlahan serta menggesa kerajaan negeri menyediakan prasarana asas sebelum lot tapak rumah diserahkan kepada peserta.
Selain itu, beliau juga mendakwa penduduk di FELDA Selancar 1 terpaksa membina laluan sendiri ke kawasan lot perumahan bagi memudahkan urusan permohonan bekalan air dan elektrik.
Mengulas lanjut, Amizar yang juga ADUN Pelangai berkata, kerajaan Pahang sentiasa komited memastikan pelaksanaan STR FELDA Pahang berjalan lancar melalui kerjasama erat antara FELDA dan agensi berkaitan.
Menurutnya, pelbagai penyelarasan sedang dilakukan termasuk penyediaan kemudahan asas dan pembangunan infrastruktur secara berperingkat demi manfaat generasi baharu FELDA di negeri ini.





