
TAWAU – Konsep ’empowering women’ dalam sambutan Hari Ibu perlu diterjemahkan melalui usaha memperkukuh wanita sebagai penggerak utama pembangunan keluarga, ekonomi dan masyarakat.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkata, wanita hari ini tidak lagi sekadar penyokong belakang tabir, sebaliknya sebagai pemimpin, pencipta peluang ekonomi, pendidik generasi dan suara penting dalam menentukan masa depan negeri.
“Wanita perlu diberikan lebih banyak peluang ekonomi dan latihan kemahiran supaya mereka mampu meningkatkan taraf hidup keluarga serta keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Selain itu, penglibatan wanita dalam kepimpinan komuniti dan politik juga perlu diperkasakan agar suara mereka terus didengari dalam proses pembangunan negeri,” katanya dalam kenyataan media sempena Hari Ibu 2026, pada Ahad.

Menurut Rina yang juga ADUN Kukusan, usaha memperkasa wanita turut diterjemahkan menerusi gerak kerja Kelab Kebajikan Komuniti Rina Jainal bersama Skuad Wanita Harapan Sabah melalui pelbagai program.
“Antaranya bantuan komuniti, pembangunan wanita akar umbi serta usaha membuka lebih banyak ruang kepimpinan kepada wanita.
“Jaringan sokongan sesama wanita juga penting bagi memastikan tiada golongan wanita tercicir daripada arus pembangunan.
“Apabila seorang wanita diperkasakan, sebuah keluarga akan menjadi lebih kuat. Dan apabila ramai wanita bangkit bersama, sebuah negeri akan bergerak lebih maju,” ujarnya.
Tambahnya, Sabah masih berhadapan jurang ekonomi yang besar selain kadar penglibatan wanita dalam kepimpinan masih rendah walaupun wanita di negeri ini mempunyai potensi serta daya tahan luar biasa.
“Wanita Sabah memiliki kekuatan dan kemampuan besar untuk menjadi agen perubahan dalam masyarakat jika diberi ruang dan peluang sewajarnya,” jelasnya.






