PUTRAJAYA – Kerajaan sedang memperhalusi pelaksanaan subsidi minyak RON95 yang melibatkan golongan berpendapatan tinggi, iaitu T5, T10, T15 dan T20 dengan mengambil kira pendapatan, serta beberapa aspek lain.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, cadangan itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) susulan pengumuman Perdana Menteri mengenai keperluan menyasarkan semula subsidi.
Menurut beliau, antara cabaran utama sedang diteliti kementerian ialah menentukan garis pemisah sesuai bagi membezakan golongan yang layak menerima subsidi dan mereka yang wajar dikeluarkan daripada sistem berkenaan.
“Itu antara intipati perbincangan yang sedang dilakukan bagi menentukan di manakah garis pemisah antara mereka yang sewajarnya menerima subsidi dan mereka yang mungkin lebih sesuai dikeluarkan daripada sistem berkenaan.
“Kita mahu memastikan penyasaran subsidi dapat dilaksanakan dengan adil, tetapi pada masa sama tidak menjejaskan kumpulan yang masih memerlukan bantuan atau belum bersedia untuk beralih sepenuhnya,” katanya kepada media selepas perasmian Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada syarikat semikonduktor, Arm Limited di Kementerian Ekonomi, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, selain pendapatan, beberapa faktor lain turut dipertimbangkan dalam menentukan kategori T15, termasuk data sedia ada yang boleh dijadikan rujukan oleh kerajaan.
“Apabila pendekatan ini dilaksanakan, kita juga akan menyediakan ruang untuk rayuan bagi memastikan proses tersebut lebih adil. Bila garis pemisah itu lebih jelas, ia akan memudahkan penerimaan dalam kalangan kumpulan sasaran,” katanya.
Menurutnya, pendirian Kementerian Ekonomi kekal konsisten bahawa bantuan kerajaan perlu disalurkan secara bersasar agar manfaatnya benar-benar dinikmati oleh kumpulan yang layak.
“Kerajaan konsisten dengan pendirian bahawa pemberian bantuan dan subsidi perlu dilaksanakan secara bersasar dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara serta keperluan mengimbangi perlindungan rakyat, kawalan inflasi dan pembangunan ekonomi.
“Jika subsidi tidak diurus dengan cermat, ia boleh memberi implikasi yang ingin kita elakkan. Kita perlu mengimbangi keperluan melindungi rakyat, mengawal inflasi dan memastikan pembangunan ekonomi negara terus berjalan supaya semua lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Tambahnya, perincian pelaksanaan subsidi bersasar itu dijangka dapat dimuktamadkan sebelum bermulanya bulan hadapan, dengan pelaksanaannya berkemungkinan bermula pada awal bulan, namun perkara tersebut masih di peringkat perbincangan.
“Kalau pandangan saya, sebaiknya kita boleh memuktamadkan sebelum bermulanya bulan yang baharu. Saya jangkakan apabila dilaksanakan nanti, kemungkinan besar ia akan bermula pada awal bulan. Namun, perkara ini masih di peringkat perbincangan,” katanya.







