
TAWAU – Mahkamah Majistret Tawau pada Isnin membenarkan lanjutan reman tiga hari terhadap 28 warga asing termasuk dua wanita, bagi melengkapkan siasatan kes sindiket penipuan pelaburan saham dalam talian.
Perintah lanjutan reman ke atas suspek berumur antara 21 hingga 51 tahun sehingga 14 Mei itu dikeluarkan oleh Majistret Don Stiwin Malanjum selepas permohonan dikemukakan pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Inspektor Siti Dayana Adillah di Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin.
Siti Dayana dalam permohonannya memaklumkan, permohonan lanjutan reman itu dibuat antara lain untuk proses rakaman percakapan suspek yang berdepan kekangan komunikasi serta memerlukan khidmat jurubahasa.
Tambahnya, siasatan turut memerlukan bantuan pakar media sosial bagi meneliti bahan berkaitan kes berkenaan.
Berdasarkan keterangan kes, 6 Mei lepas, pasukan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama Strike Team dan Task Force Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam (KDNKA) membuat serbuan di sebuah banglo di Bandar Sri Indah, Batu 10, Jalan Apas kira-kira 9.20 pagi.
Dalam operasi itu, 26 lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang wanita warga Vietnam ditahan dipercayai menjalankan kegiatan penipuan pelaburan saham secara dalam talian menggunakan beberapa platform media sosial termasuk Telegram, WhatsApp dan KakaoTalk dengan sasaran utama adalah warga Korea Selatan.
Polis turut merampas 33 telefon bimbit, tiga komputer riba dan dua set modem internet yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Selain sebagai pusat operasi, lokasi serbuan itu juga disyaki dijadikan tempat latihan, penginapan dan kawasan rehat ahli kumpulan terbabit.







