
LONG LAMA – Program agihan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026 bagi kawasan luar bandar Sarawak bermula secara rasmi di Dewan SJK (C) Kee Tee, Long Lama, melibatkan seramai 93 penerima yang layak menerima bantuan tunai tersebut, pada Sabtu.
Penolong Pegawai Kewangan Perbendaharaan Malaysia Sarawak, Bridget Ivon Albert berkata, pelaksanaan STR 2026 di Sarawak dimulakan pada 9 Mei dengan Long Lama dan Beluru sebagai dua lokasi pertama sebelum diteruskan ke 20 lokasi di seluruh negeri.

Menurutnya, lokasi terakhir bagi siri agihan tersebut dijadualkan berlangsung pada 28 Jun 2026 di Engkilili.
“Bagi memastikan bantuan sampai terus kepada penerima yang layak, surat pemberitahuan diedarkan lebih awal, kira-kira sebulan hingga tiga minggu sebelum program dilaksanakan melalui pejabat daerah, KMKK serta wakil tempatan untuk disampaikan terus kepada penerima,” katanya ketika ditemui semasa program berkenaan.
Selain itu, antara cabaran utama pelaksanaan di kawasan pedalaman ialah faktor jarak perjalanan yang jauh selain berdepan masalah luar jangka seperti ketiadaan rangkaian telekomunikasi dan Internet.
“Disebabkan tiada sambungan Internet di Long Lama hari ini, pihak kami mengambil pendekatan melaksanakan penilaian dan pengagihan secara luar talian (offline) bagi memastikan proses bantuan tetap berjalan lancar,” jelasnya.
Tambah beliau, bantuan STR diharap dapat meringankan beban kewangan penerima khususnya dalam memenuhi keperluan harian, selain diteruskan kerajaan pada masa hadapan demi manfaat rakyat yang memerlukan.
“Semoga bantuan ini dapat diteruskan untuk membantu golongan yang benar-benar memerlukan,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Deposit Bank Simpanan Nasional (BSN), Bong Chong Jin berkata, BSN turut menyediakan perkhidmatan Cawangan Bergerak (CBD) sepanjang program berlangsung.
Selain pembayaran STR, perkhidmatan van bergerak itu turut menawarkan kemudahan seperti pembukaan akaun, pengeluaran dan simpanan wang serta pembayaran bil, sama seperti perkhidmatan di cawangan tetap BSN.
“Tujuan utama kami hadir ke kawasan luar bandar adalah untuk memudahkan rakyat menerima bantuan tanpa perlu menanggung kos perjalanan yang tinggi ke bandar.

“Namun disebabkan gangguan rangkaian di Long Lama, pembayaran hari ini dilakukan secara offline berpandukan senarai penerima yang telah disediakan. Mereka yang tidak sempat hadir masih boleh menuntut bantuan di mana-mana cawangan BSN,” katanya.
Program ini dijangka terus memperluaskan akses bantuan kerajaan kepada penduduk luar bandar secara lebih mudah, selamat dan efisien.






