
JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) bakal menghimpunkan pimpinan tertinggi serta perwakilan parti komponen menerusi Konvensyen Pakatan Harapan 2026 yang dijadual berlangsung pada 17 Mei ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.
Mengangkat tema “Tekad Madani, Harapan Rakyat”, konvensyen berkenaan dijangka menjadi medan penting bagi memperkukuh kesepaduan organisasi, menyelaras gerak kerja politik serta memperincikan hala tuju gabungan itu dalam menghadapi cabaran politik dan ekonomi semasa.
Program sehari yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 6 petang itu turut dilihat sebagai platform strategik PH bagi memperkemaskan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan amanat khas kepada para perwakilan, selain kehadiran pimpinan utama gabungan tersebut yang bakal menzahirkan komitmen memperkukuh kesatuan politik Kerajaan MADANI.
Menurut kenyataan bersama pimpinan PH, fokus utama konvensyen kali ini adalah untuk memastikan agenda reformasi serta dasar Kerajaan MADANI terus diperkasa demi menjamin kestabilan politik dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
“Konvensyen ini menjadi simbol komitmen berterusan Pakatan Harapan dalam memperkukuh organisasi serta memastikan aspirasi rakyat terus diberi keutamaan,” menurut kenyataan itu.
Untuk rekod, kali terakhir Konvensyen Pakatan Harapan diadakan adalah pada tahun 2022 sebelum penganjuran semula diumumkan tahun ini.
Kenyataan media tersebut dikeluarkan bersama oleh Ketua Penerangan KEADILAN, Fahmi Fadzil, Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari serta Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan.



