Pemecatan Mubarak Dohak sah, tidak melanggar proses perlembagaan Negeri Sembilan

SEREMBAN – Isu pemecatan Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak seharusnya tidak lagi menjadi pertikaian, sebaliknya perhatian perlu diberikan kepada pematuhan proses perlembagaan secara menyeluruh.

Bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus berkata, penyingkiran tersebut telah dilaksanakan mengikut undang-undang adat di peringkat luak sebelum disahkan oleh institusi yang mempunyai kuasa perlembagaan.

Beliau yang juga merupakan cicit kepada bekas Undang Johol, Datuk Wan Saeto Rubah berkata, Mubarak dilaporkan telah disingkirkan berkuat kuasa 13 Mei tahun lalu atas pelanggaran 33 peraturan adat, sebelum keputusan itu disemak dan diperakukan oleh Dewan Keadilan Negeri Sembilan pada 17 April lalu.

“Dewan Keadilan diberi kuasa di bawah Perkara XVI Perlembagaan Negeri Sembilan untuk memberi nasihat mengenai sebarang persoalan berkaitan pelantikan, penggantian atau penyingkiran mana-mana jawatan Pemerintah (Undang). Dewan Keadilan telah mengadakan mesyuarat pada 17 April bagi meneliti dan memberi nasihat berhubung kesahan penyingkiran Mubarak oleh pihak berkuasa adat yang berkaitan.

“Ia mengikut undang-undang adat di peringkat luak. Dalam menjalankan kuasanya di bawah Perkara XVI, Dewan Keadilan memutuskan bahawa penyingkiran tersebut adalah selaras dengan undang-undang adat di peringkat luak. Keputusan dan nasihat itu kini dipertikaikan oleh tiga Undang iaitu Undang Jelebu, Undang Johol, Undang Rembau serta Mubarak sendiri.

“Namun, Perkara XVI Perlembagaan Negeri memperuntukkan bahawa keputusan dan nasihat Dewan Keadilan adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa jua alasan,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Hishamudin menegaskan, Pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah tidak sah berikutan beberapa elemen asas dalam Perlembagaan Negeri tidak dipatuhi.

Menurutnya, walaupun peruntukan Perkara X, Fasal (1) Perlembagaan Negeri memberi kuasa kepada Undang untuk menggesa Yang di-Pertuan Besar turun takhta, kuasa itu bukan bersifat mutlak sebaliknya tertakluk kepada syarat ketat, termasuk keperluan menjalankan siasatan penuh serta menyeluruh.

Beliau turut membangkitkan sama ada para undang menjalankan siasatan penuh dan lengkap terhadap dakwaan salah laku Tuanku Muhriz, seperti didakwa.

“Kuasa membuat gesaan sedemikian diperuntukkan di bawah Perlembagaan Negeri yang menyatakan bahawa ia boleh digunakan sekiranya didapati Baginda telah melakukan perbuatan menjejaskan kesucian, kehormatan dan martabat jawatan Yang di-Pertuan Besar atau dengan sengaja mengabaikan peruntukan Perlembagaan ini.

“Namun ia juga menetapkan bahawa penentuan tersebut hanya boleh dibuat oleh Undang selepas proses sewajarnya dilaksanakan, iaitu selepas siasatan penuh dan menyeluruh oleh Undang yang membuktikan Baginda bersalah terhadap perkara tersebut. Justeru, timbul persoalan sama ada Undang secara kolektif telah menjalankan siasatan penuh dan menyeluruh.

“Saya tidak mempunyai maklumat mengenai sifat tuduhan terhadap Baginda, dan juga tidak mengetahui sama ada siasatan lengkap telah dijalankan termasuk memberi peluang kepada Yang di-Pertuan Besar untuk didengar selaras dengan prinsip keadilan asasi.

“Sekiranya diandaikan bahawa proses sewajarnya tidak dilaksanakan dalam gesaan turun takhta tersebut, maka pengisytiharan yang dikeluarkan oleh tiga Undang bersama Mubarak itu adalah tidak sah,” katanya.

Dalam pada itu, Hishamudin berkata, tindakan Mubarak yang membaca pengisytiharan itu walaupun telah dipecat sebagai undang Sungei Ujung turut menjadikan beliau pihak yang berat sebelah selain menimbulkan persoalan konflik kepentingan yang jelas

“Beliau (Mubarak) sepatutnya tidak terlibat dalam pengisytiharan tersebut walaupun Perkara XXIX Perlembagaan Negeri menyatakan bahawa keputusan Undang dianggap sah jika dibuat oleh sekurang-kurangnya tiga Undang.

“Ataupun sebanyak mana yang masih hidup pada masa kuasa itu dilaksanakan Saya mengambil maklum namun, dengan penglibatan Mubarak, kesahan pengisytiharan tersebut menjadi dipersoalkan, walaupun wujud peruntukan ini,” katanya.

Sementara itu, Hishamudin yang juga anak Negeri Sembilan daripada suku Biduanda menegaskan pengisytiharan tersebut juga tidak mempunyai kekuatan undang kerana tidak dibuat secara bersama dengan Menteri Besar seperti yang diperuntukkan dalam proviso Fasal (2), Perkara X.

“Pada pandangan saya, ia tidak mempunyai kekuatan undang-undang selagi tidak ada pengisytiharan yang dikeluarkan secara bersama oleh Undang dan Menteri Besar seperti yang diperuntukkan dalam proviso Fasal (2) Perkara X. Namun, Menteri Besar bukan pihak kepada pengisytiharan tersebut. Malah, beliau dilaporkan tidak mengiktiraf pengisytiharan berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim mendakwa, tindakan Undang Yang Empat menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai sah.

Menganggap tindakan undang baru-baru ini sebagai sah, bekas menteri itu bagaimanapun mengesyorkan supaya pihak-pihak yang mentadbir kerajaan Negeri Sembilan kembali ke pangkal permasalahan.

Related Posts

Kejohanan Kuantan 7s Hockey Challenge 2026 rekod 180 penyertaan

SEBANYAK 180 pasukan dari seluruh negara bakal berentap dalam tujuh kategori pada Kejohanan Kuantan 7s Hockey Challenge 2026 yang akan berlangsung di Stadium Hoki Wisma Belia Indera Mahkota, dari 9…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Netizen sifatkan Mohd Shuhaily pilihan tepat perkukuh kawalan sempadan negara

PEMILIHAN Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dilihat bertepatan dengan keperluan memperkukuh kawalan pintu masuk negara, khususnya dalam membanteras kegiatan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kejohanan Kuantan 7s Hockey Challenge 2026 rekod 180 penyertaan

Kejohanan Kuantan 7s Hockey Challenge 2026 rekod 180 penyertaan

Netizen sifatkan Mohd Shuhaily pilihan tepat perkukuh kawalan sempadan negara

Netizen sifatkan Mohd Shuhaily pilihan tepat perkukuh kawalan sempadan negara

Tegas pertahan integriti, KP AKPS lapor polis isu video tular

Tegas pertahan integriti, KP AKPS lapor polis isu video tular

Warga emas maut, motosikal bertembung pacuan empat roda

  • By Fatin
  • October 1, 2026
Warga emas maut, motosikal bertembung pacuan empat roda

DBKK nafi dakwaan palsu lantikan CEO Kinabalu Venture

DBKK nafi dakwaan palsu lantikan CEO Kinabalu Venture

SARA bulanan mula dikredit hari ini

SARA bulanan mula dikredit hari ini