Penyaluran bantuan agrikomoditi dan PKS perlu diperkemas, elak ketirisan

KERAJAAN perlu memastikan setiap bantuan dan insentif yang disalurkan kepada sektor agrikomoditi serta perusahaan kecil sederhana (PKS) tidak mengalami ketirisan, sebaliknya mencapai objektif membantu golongan sasar.

Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, inisiatif seperti BUDI Agrikomoditi dan pemberian insentif pembajakan sebanyak RM200 sehektar kepada pesawah padi berdaftar di seluruh negara merupakan langkah tepat sebagai mekanisme perlindungan bersasar atau ‘targeted cushioning mechanism’.

Awang Azman berkata, pendekatan itu penting bagi melindungi pekebun kecil dan pemain sektor agrikomoditi yang berdepan ketidaktentuan harga global serta gangguan rantaian bekalan.

“Intervensi kerajaan ini wajar kerana sektor agrikomoditi amat terdedah kepada faktor luaran yang sukar dikawal.

“Namun, cabaran utama ialah memastikan tiada ketirisan, selain ketepatan penyasaran supaya manfaat benar-benar sampai kepada kumpulan paling rentan, bukan hanya pemain industri berskala besar,” katanya dalam kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP).

Beliau berkata demikian ketika mengulas langkah kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam situasi global yang mencabar.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, kelemahan dari segi pelaksanaan boleh menjejaskan keberkesanan dasar, sekali gus mengurangkan impak redistributif yang sepatutnya dinikmati golongan sasar.

“Sekiranya pelaksanaan lemah, inisiatif ini berisiko kehilangan fungsi asalnya untuk mengurangkan jurang dan membantu mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menilai pendekatan kerajaan dalam memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sebagai langkah pragmatik memandangkan sektor berkenaan merupakan tulang belakang ekonomi domestik.

Katanya, suntikan dana, jaminan kredit serta insentif digitalisasi mampu membantu PMKS menyesuaikan diri dengan tekanan kos input dan ketidaktentuan permintaan semasa.

“Tetapi, keberkesanan sebenar bergantung kepada dua faktor kritikal iaitu aksesibiliti dan kapasiti.

“Persoalannya, adakah PMKS benar-benar mudah memperoleh pembiayaan, dan adakah mereka berupaya memanfaatkan dana itu untuk meningkatkan keupayaan operasi, bukan sekadar bertahan dalam jangka pendek,” katanya.

Sehubungan itu, Awang Azman berpandangan kerajaan perlu memberi penekanan terhadap pelaksanaan yang telus dan cekap bagi memastikan setiap dasar yang dirangka benar-benar memberi impak kepada rakyat, khususnya dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.

Related Posts

Perak catat pertumbuhan ekonomi 5.7 peratus, atasi kadar nasional

IPOH – Perak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara negeri berprestasi tinggi apabila merekodkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.7 peratus pada 2025, mengatasi kadar pertumbuhan ekonomi negara iaitu 5.2 peratus. Berdasarkan Laporan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
JS-SEZ kekal di landasan, pelan induk dilancar suku ke-4 2026

PUTRAJAYA – Pelaksanaan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) perlu disusun secara strategik bagi memastikan keselarasan dasar, kesiapsiagaan pelaksanaan dan keyakinan pelabur diperkukuh. Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kemajuan JS-SEZ perlu dinilai…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

MediAsas: Reformasi pembiayaan kesihatan kurangkan beban rakyat

MediAsas: Reformasi pembiayaan kesihatan kurangkan beban rakyat

Pengundian awal PRN Johor berjalan lancar di IPD Mersing

Pengundian awal PRN Johor berjalan lancar di IPD Mersing

Sepanyol ke suku akhir lepas menang tipis 1-0 ke atas Portugal

Sepanyol ke suku akhir lepas menang tipis 1-0 ke atas Portugal

Elia Nadira tekad bawa politik nilai, didik masyarakat dan utamakan khidmat di Tenang

Elia Nadira tekad bawa politik nilai, didik masyarakat dan utamakan khidmat di Tenang

Pengalaman sedekad sebagai peguam kelebihan fahami dasar, undang-undang – Kartiyaini

Pengalaman sedekad sebagai peguam kelebihan fahami dasar, undang-undang – Kartiyaini

Haniff Hosman eratkan silaturahim bersama jemaah Surau Kampung Dalam

Haniff Hosman eratkan silaturahim bersama jemaah Surau Kampung Dalam