Perairan Perlis jadi habitat mamalia marin bertaraf antarabangsa

KUALA PERLIS – Perairan negeri ini khususnya sekitar Kuala Perlis hingga ke Pulau Batu Layang diiktiraf sebagai habitat penting mamalia marin bertaraf antarabangsa apabila menjadi lokasi kemunculan spesies lumba-lumba Irrawaddy.

Spesies tersebut yang dikenali secara saintifik sebagai Orcaella brevirostris dirakamkan di Pantai Sungai Baru, Kuala Perlis pada 1 Mei lalu, sekali gus membuktikan kewujudan ekosistem laut yang bernilai tinggi di negeri ini.

Perairan pesisir Perlis termasuk kawasan sekitar Kuala Perlis, Pantai Sungai Baru dan Pulau Batu Layang turut diiktiraf oleh International Union for Conservation of Nature sebagai sebahagian daripada kawasan Important Marine Mammal Area di bawah wilayah Kepulauan Satun-Langkawi serta perairan pesisir bersebelahan Perlis-Kedah.

Pengiktirafan tersebut diberikan kepada kawasan laut yang mempunyai kepentingan kritikal kepada kelangsungan hidup mamalia marin termasuk sebagai habitat utama, kawasan pembiakan, lokasi membesarkan anak dan zon penting mencari makanan.

Menurut Perlis Nature Xplorer (PNX) dalam satu kenyataan, gelagat lumba-lumba Irrawaddy yang dirakamkan itu menunjukkan kawasan perairan negeri ini masih menjadi habitat semula jadi bagi spesies mamalia marin berkenaan.

“Spesies ini merupakan antara empat mamalia marin yang direkodkan di perairan Kuala Perlis termasuk sekitar Pantai Sungai Baru dan perairan Batu Layang.

“Kehadiran lumba-lumba ini sekali gus membuktikan kawasan pesisir Perlis mempunyai nilai ekologi yang tinggi dan signifikan kepada kelangsungan hidup hidupan marin,” kata badan bukan kerajaan yang memfokuskan alam semulajadi negeri paling utara di Semanjung Malaysia itu.

Pulau Batu Layang yang merupakan satu-satunya pulau di negeri Perlis turut memainkan peranan sebagai titik rujukan ekologi penting dalam menyokong keseimbangan biodiversiti marin di kawasan tersebut.

Menurut pemantauan oleh MareCet yang menjalankan penyelidikan dan konservasi mamalia marin, kehadiran spesies ini menunjukkan bahawa perairan Perlis masih mempunyai kualiti habitat yang sesuai untuk menyokong hidupan marin sensitif.

Organisasi itu turut menjalankan pelbagai usaha pemuliharaan termasuk program kesedaran komuniti, pemantauan populasi serta penggunaan teknologi akustik bagi mengurangkan risiko tangkapan sampingan dalam sektor perikanan.

Kajian turut menunjukkan spesies lumba-lumba Irrawaddy sangat sensitif terhadap perubahan habitat dan memerlukan perlindungan berterusan bagi memastikan populasinya kekal di perairan negara.

Penemuan tersebut sekali gus memperkukuh kedudukan Perlis bukan sahaja sebagai negeri paling kecil di Malaysia, tetapi juga sebagai kawasan pesisir yang memiliki kepentingan ekologi bertaraf global.

Foto: Perlis Nature Xplorer (PNX)

Related Posts

Kolaborasi Tourism Malaysia dan Cats FM rancakkan pelancongan Sarawak

KUCHING – Tourism Malaysia dengan kerjasama stesen radio Cats FM sukses menganjurkan program Miss SHOPhia Shopping Hunt 2026 bagi mempromosikan pelancongan domestik dan merancakkan sektor peruncitan di Sarawak.   Program interaktif…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Sibu Economic Zone bakal ditubuhkan, RM1.5 bilion dana permulaan

SIBU – Sebuah badan khas dikenali sebagai Sibu Economic Zone bakal ditubuhkan dengan dana permulaan sebanyak RM1.5 bilion bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi Sibu dan zon tengah Sarawak. Premier Sarawak, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar ucap tahniah kepada BN, jamin pembangunan Johor kekal jadi keutamaan

Anwar ucap tahniah kepada BN, jamin pembangunan Johor kekal jadi keutamaan

BN peroleh majoriti mudah, bentuk Kerajaan Negeri Johor – SPR

BN peroleh majoriti mudah, bentuk Kerajaan Negeri Johor – SPR

PRN Johor: BN raih kemenangan, kuasai 48 kerusi DUN

PRN Johor: BN raih kemenangan, kuasai 48 kerusi DUN

Maszlee berjaya tawan DUN Puteri Wangsa

Maszlee berjaya tawan DUN Puteri Wangsa

PRN Johor: PH terima keputusan rakyat hanya menang lapan kerusi

PRN Johor: PH terima keputusan rakyat hanya menang lapan kerusi

BN lepas majoriti mudah bentuk Kerajaan Negeri Johor

BN lepas majoriti mudah bentuk Kerajaan Negeri Johor