
KULAI — Kerajaan terus memperkukuh agenda pendidikan inklusif apabila peruntukan sebanyak RM4.2 juta diluluskan bagi pembinaan bangunan tambahan di SJK(T) Ladang Kulai Besar, satu langkah signifikan bagi menampung pertambahan murid serta meningkatkan kualiti pembelajaran di kawasan itu.
Timbalan Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan tiada sekolah tercicir daripada arus pembangunan pendidikan negara.
Menurut beliau, lawatan turun padang bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh ke sekolah berkenaan memberi peluang untuk menilai sendiri keperluan semasa serta perkembangan projek yang dirancang.
“Pendekatan turun padang ini penting supaya setiap perancangan benar-benar memberi impak kepada warga sekolah, bukan sekadar di atas kertas,” katanya.
Lawatan itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Bor Yang, selain Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai, Haji Abdul Rahman bersama rombongan.
Bangunan baharu yang dijangka siap pada suku kedua tahun 2027 itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk dewan serbaguna, kelas pendidikan khas serta kemudahan tandas yang lebih selesa. Pembangunan ini bukan sahaja bertujuan menambah kapasiti ruang, malah mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan selamat untuk murid.
Dalam perkembangan sama, Teo memaklumkan bahawa sejak tahun 2022 hingga 2025, sebanyak RM152,750 telah disalurkan kepada sekolah tersebut bagi tujuan naik taraf fasiliti, penambahbaikan padang serta pembekalan perabot.
“Usaha ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kualiti pendidikan sentiasa dipertingkatkan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan akan terus memberi perhatian kepada semua aliran pendidikan secara adil dan menyeluruh, demi membina sistem pendidikan yang inklusif, cekap dan berdaya saing untuk generasi masa depan negara.




