PENDEKATAN diplomasi berhemah yang diamalkan Malaysia menjadi faktor utama negara terus mengekalkan hubungan perdagangan strategik dengan Iran dan Rusia, meskipun berdepan tekanan geopolitik global.
Felo Majlis Profesor Negara, Prof Dr Azmi Hassan berkata, Malaysia kekal dengan pendirian konsisten untuk tidak terikat dengan sekatan ekonomi unilateral yang tidak diputuskan melalui platform pelbagai hala.
Beliau berkata, hubungan perdagangan dengan Iran dan Rusia diteruskan seperti biasa, termasuk dalam usaha mendapatkan bekalan minyak, kerana Malaysia tidak mempunyai sebarang pertikaian dengan kedua-dua negara terbabit.
“Malaysia melihat sekatan ini sebagai tindakan unilateral dan bukan keputusan bersama komuniti antarabangsa. Justeru, kita tidak terikat untuk mematuhinya,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP).

Menurut Azmi, pendekatan itu mencerminkan dasar luar Malaysia yang bebas dan berkecuali, selain mengutamakan kepentingan ekonomi negara dalam keadaan ketidaktentuan global.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia turut mengamalkan diplomasi senyap dalam memastikan urusan perdagangan tidak terjejas, khususnya melibatkan penghantaran minyak dari Iran.
“Dalam situasi semasa, Malaysia tidak perlu terlalu lantang atau konfrontasi. Apa yang lebih penting ialah memastikan kepentingan strategik negara terpelihara, termasuk mendapatkan kebenaran agar kapal tangki minyak dapat keluar dari pelabuhan Iran,” katanya.
Azmi turut menjelaskan bahawa pendirian Malaysia dalam isu itu bukan perkara baharu, sebaliknya telah lama dipertahankan sejak sebelum ini.
Katanya, pada 2004, pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) pernah menasihati Malaysia supaya tidak berdagang dengan Iran dan Rusia, namun negara menegaskan bahawa isu berkenaan adalah antara Amerika Syarikat dengan kedua-dua negara terbabit.
“Malaysia tidak mempunyai isu dengan Iran atau Rusia. Oleh itu, pendirian untuk meneruskan hubungan perdagangan adalah selaras dengan kepentingan nasional,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa diplomasi berhemah dan pendekatan bersifat realistik akan terus menjadi asas penting dalam memastikan Malaysia mampu mengimbangi tekanan geopolitik, di samping mengekalkan hubungan dagang yang strategik.



