KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME SRF) berjumlah RM5 bilion untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk perusahaan mikro yang terjejas oleh konflik semasa di Asia Barat.
Permohonan kemudahan itu dibuka mulai 15 Mei 2026 hingga 31 Disember 2026 atau sehingga kemudahan itu digunakan sepenuhnya.
PKS boleh memohon secara terus kepada institusi kewangan peserta, termasuk bank perdagangan, bank Islam dan institusi kewangan pembangunan dikawal selia BNM, lapor Berita Harian.
BNM memaklumkan pihaknya menyedari PKS dalam segmen tertentu mungkin mengalami gangguan operasi, cabaran aliran tunai serta kesukaran untuk memenuhi komitmen kewangan jangka pendek.
Menurutnya, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa perbincangan meja bulat dengan ketua pegawai eksekutif institusi kewangan pada 21 April lalu, SME SRF akan menyediakan pembiayaan modal kerja bagi membantu perniagaan yang berdaya maju untuk meneruskan operasi dan mengharungi tempoh ketidakpastian itu.
“PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan hingga RM750,000 untuk tempoh sehingga lima tahun, dengan kadar pembiayaan maksimum sebanyak 3.75 peratus setahun (termasuk yuran jaminan).
“Pembiayaan ini akan disokong oleh jaminan hingga 80 peratus daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan, terutamanya bagi PKS yang tidak mempunyai cagaran mencukupi,” katanya.
Dalam persekitaran semasa, BNM amat menggalakkan perniagaan yang menjangkakan atau sudahpun mengalami kesukaran kewangan untuk berhubung lebih awal dengan institusi kewangan masing-masing.
Tindakan proaktif membolehkan bank bekerjasama dengan peminjam untuk mengenal pasti penyelesaian yang sesuai, termasuk fleksibiliti bayaran balik pinjaman, penstrukturan semula kemudahan pembiayaan atau langkah sokongan lain yang disesuaikan untuk membantu perniagaan kekal berdaya maju.
Institusi kewangan sentiasa bersedia untuk membantu dan komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan PKS yang terkesan sepanjang tempoh ini.
PKS juga boleh mendapatkan khidmat nasihat kewangan, sokongan pendidikan kewangan serta bantuan khidmat nasihat bayaran balik pinjaman secara menyeluruh daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit melalui program seperti Program Pengurusan Kredit untuk individu dan peniaga milikan tunggal dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil untuk PKS.
Untuk penjelasan atau bantuan, PKS boleh menghubungi institusi kewangan mereka secara langsung atau menghubungi BNM melalui http://bnm.gov.my/LINK.



