89 65 66 32 80 101 114 100 97 110 97 32 77 101 110 116 101 114 105 44 32 68 97 116 111 39 32 83 101 114 105 32 65 110 119 97 114 32 73 98 114 97 104 105 109 32 115 101 109 97 115 97 32 112 114 111 103 114 97 109 32 73 108 109 117 97 110 32 77 65 68 65 78 73 32 83 105 114 105 32 49 49 32 100 105 32 75 111 109 112 108 101 107 115 32 83 101 114 105 32 80 101 114 100 97 110 97 44 32 80 117 116 114 97 106 97 121 97 46 32 50 54 32 65 112 114 105 108 32 50 48 50 54 46 32 70 65 84 72 32 82 73 90 65 76 47 80 101 106
PUTRAJAYA – Kerajaan menegaskan keperluan untuk memperkukuh daya tahan ekonomi negara bagi menghadapi cabaran kelembapan ekonomi global yang dipengaruhi oleh peningkatan kos dunia serta gangguan rantaian bekalan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, walaupun Malaysia dijangka masih memiliki bekalan petroleum yang mencukupi untuk tempoh beberapa bulan akan datang, negara tidak terkecuali daripada berdepan cabaran lain termasuk kemungkinan gangguan bekalan diesel dan baja yang boleh memberi kesan kepada ekonomi domestik.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 11 bertemakan Muslim Unity in Times of Geopolitical Crisis anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi yang diadakan di Putrajaya, semalam.
Dalam ucapannya, Anwar menekankan bahawa kekuatan Malaysia dalam mendepani ketidaktentuan global banyak bergantung kepada perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan agama, yang menjadi asas penting kepada kestabilan negara.
“Kita berbangga untuk menyatakan, alhamdulillah di negara berbilang kaum dan berbilang agama seperti Malaysia, wujud semangat perpaduan serta iltizam untuk mempertahankan negara serta berganding bahu dalam menyelesaikan cabaran.
“Saya tidak percaya ada masalah yang tidak mampu diatasi. Apa yang kita perlukan ialah iltizam dan membina daya tahan yang kukuh dalam kalangan rakyat kita,” katanya.
Mengulas perkembangan antarabangsa, Perdana Menteri berkata, landskap geopolitik dunia kini semakin kompleks khususnya susulan konflik berpanjangan di Asia Barat yang memberi kesan besar terhadap politik serta ekonomi global.
Beliau turut mengecam tindakan pencerobohan berterusan Israel yang disokong Amerika Syarikat, yang menurutnya telah mencetuskan krisis kemanusiaan serius termasuk di Gaza, Lubnan serta beberapa wilayah lain.
“Penderitaan di Gaza dan perjuangan Palestin tidak boleh sama sekali dilupakan atau diabaikan. Dunia sedang menyaksikan kekejaman pada tahap yang sukar dibayangkan,” katanya.
Tambah beliau, dasar luar Malaysia kekal konsisten dalam memperjuangkan keamanan dan keadilan, termasuk dalam menangani konflik di Myanmar serta isu serantau lain, selain menekankan kepentingan pendekatan antarabangsa yang lebih berprinsip dan bersepadu.
Forum berkenaan turut menampilkan barisan panel tempatan dan antarabangsa, antaranya Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Ibn Haldun, Necmeddin Bilal Erdoğan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, Pengarah Islamic Institute for Development and Research (IIDR), Sharif Hasan Al-Banna, serta Profesor Madya di Universiti Nasional Singapura, Dr Khairudin Aljunied.



