
PUTRAJAYA – Pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh institusi pencegahan rasuah, khususnya dalam keadaan semasa yang menuntut integriti, ketelusan dan keberanian institusi.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, latar belakang beliau sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dengan pengalaman luas dalam sistem kehakiman memberi asas kukuh untuk memperkasakan SPRM dengan pendekatan berteraskan kedaulatan undang-undang.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM merupakan sebuah ujian kepada sistem negara, bukan sekadar kekuatan terhadap individu.
“MCW percaya pelantikan ini berpotensi menjadi titik perubahan, namun kejayaan hanya dapat diukur melalui tindakan berani dan konsisten, bukan sekadar perubahan kepimpinan.
“Jika prinsip integriti ditegakkan, keyakinan rakyat akan kembali. Jika tidak, ia hanya akan dilihat sebagai pertukaran wajah tanpa reformasi sebenar,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Jais berpandangan, keyakinan rakyat hanya akan pulih sekiranya kepimpinan baharu ini mampu bertindak tegas terhadap kes berprofil tinggi tanpa pilih kasih.
Menurut beliau, wujud juga keperluan untuk memperkasa ketelusan, akauntabiliti dalam siasatan selain melaksanakan pengukuhan integriti dalam SPRM.
“Keyakinan rakyat hanya akan pulih sekiranya kepimpinan baharu ini menyokong reformasi struktur termasuk pemisahan siasatan dan pendakwaan
“Cabaran utama termasuk tekanan politik, persepsi pendakwaan terpilih dan keperluan mengubah budaya dalaman organisasi,” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkuat kuasa pada 13 Mei 2026.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, cadangan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu itu telah dipersembahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, pada Jumaat.
Katanya, pelantikan tersebut dibuat selaras dengan Subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694].







