
PUTRAJAYA – Cadangan Indonesia untuk mengenakan levi ke atas kapal yang melalui Selat Melaka disifatkan tidak relevan serta bercanggah dengan prinsip yang termaktub dalam United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS), khususnya berkaitan hak ‘transit passage’ yang menjamin laluan bebas bagi kapal-kapal melalui selat antarabangsa.
Penganalisis hubungan antarabangsa dan keselamatan Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, wlaupun isu terbabit pada zahirnya berkaitan dengan potensi hasil ekonomi, hakikatnya ia menyentuh asas norma global, keseimbangan kuasa, serta sensitiviti geopolitik yang jauh lebih kompleks.
Menurut beliau, cadangan itu bukan sahaja melanggar norma sedia ada, tetapi juga mencabar konsensus global yang telah lama menjadi asas kepada kestabilan perdagangan maritim.
“Justeru, dari sudut pemerhati hubungan antarabangsa, cadangan ini tidak mempunyai legitimasi normatif dan berisiko mencetuskan ketidakpastian dalam sistem antarabangsa. Lebih kritikal, dari sudut analisis keselamatan, cadangan ini membuka ruang kepada apa yang boleh dianggap sebagai ‘strategic miscalculation’.
“Selat Melaka bukan sekadar laluan perdagangan, tetapi merupakan chokepoint strategik yang menjadi tumpuan kuasa besar dunia. Sebarang gangguan walaupun dalam bentuk levi ekonomi, ia boleh ditafsir sebagai percubaan untuk mengawal akses kepada laluan kritikal. Ini berpotensi mencetuskan reaksi daripada kuasa besar seperti Amerika Syarikat yang secara konsisten mempertahankan prinsip kebebasan navigasi.
“Dalam konteks ini, tindakan Indonesia walaupun mungkin bermotif ekonomi, ia boleh disalah tafsir sebagai langkah yang mengancam keseimbangan strategik, sekali gus meningkatkan risiko ketegangan geopolitik,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Sabtu.
Sementara itu, Nur Ashikin berkata, sebarang usaha mengenakan levi di Selat Melaka akan menyebabkan negara serantau berisiko terperangkap dalam struktur kuasa global.
“Dalam situasi di mana kebebasan navigasi dijadikan justifikasi, Amerika Syarikat berpotensi mengambil kesempatan untuk memperkukuh kehadiran strategik di rantau ini, sama ada melalui rondaan maritim, kerjasama keselamatan, atau tekanan diplomatik.
“Secara tidak langsung, ini boleh mengurangkan autonomi negara-negara ASEAN, termasuk Malaysia, dalam mengurus laluan strategik mereka sendiri. Dalam erti kata lain, isu levi ini boleh menjadi entry point kepada pengaruh luar yang lebih mendalam dalam keselamatan maritim serantau,” katanya.
Dari sudut ekonomi politik antarabangsa, Nur Ashikin berkata, cadangan levi itu juga menunjukkan kegagalan memahami realiti interdependensi global selain mencerminkan kelemahan dari sudut diplomasi serantau berikutan ASEAN secara tradisi menekankan prinsip konsensues serta kerjasama.

Beliau berpendapat, tindakan unilateral sedemikian juga bertentangan dengan semangat tersebut di samping boleh menjejaskan kepercayaan antara negara anggota.
“Selat Melaka mengendalikan sebahagian besar perdagangan dunia. Oleh itu, sebarang kos tambahan akan memberi kesan rantaian kepada ekonomi global. Bagi Malaysia, implikasi paling besar adalah terhadap pelabuhan utama seperti Port Klang, yang bergantung kepada aliran trafik kapal yang tinggi.
“Jika syarikat perkapalan memilih laluan alternatif bagi mengelakkan levi, Malaysia berisiko kehilangan kelebihan strategiknya sebagai hab perdagangan serantau. Ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi, tetapi juga kedudukan geopolitik Malaysia sebagai negara maritim yang penting,” katanya.
Tambahnya, kerjasama seperti rondaan bersama di Selat Melaka adalah penting untuk menangani ancaman seperti lanun dan penyeludupan. Sekiranya hubungan diplomatik terjejas, keberkesanan kerjasama keselamatan ini juga akan terancam.
“Kesimpulannya, cadangan levi oleh Indonesia adalah sangat tidak relevan, tidak praktikal dan berisiko tinggi. Ia bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang antarabangsa, tetapi juga berpotensi mencetuskan ketegangan geopolitik, membuka ruang kepada campur tangan kuasa besar, serta menjejaskan kestabilan ekonomi dan keselamatan serantau.
“Bagi Malaysia, kesan terbesar adalah terhadap perdagangan dan kedudukan strategik negara, di samping risiko kehilangan autonomi dalam konteks persaingan kuasa besar. Oleh itu, penolakan terhadap cadangan ini bukan sekadar reaksi dasar, tetapi merupakan langkah strategik untuk mempertahankan kepentingan nasional dan kestabilan serantau,” katanya.
Terdahuku, Indonesia sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan levi ke atas kapal komersial yang melalui Selat Melaka, dengan bertujuan menjadikan salah satu koridor perkapalan tersibuk di dunia itu sebagai sumber pendapatan negara yang baharu.
Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa berkata, cadangan itu mencerminkan desakan Presiden Prabowo Subianto untuk meningkatkan peranan Indonesia dalam perdagangan global, menurut Jakarta Globe.
Bagaimanapun, Purbaya menarik balik cadangan tersebut dan menegaskan Jakarta tidak akan eksploitasi laluan perairan strategik itu.





