
SIBU – Kemeriahan sambutan Maulidur Rasul 1446H/2024 Peringkat Bahagian Sibu tetap meriah walaupun diadakan pada musim cuti sekolah apabila menyaksikan penglibatan 48 kontinjen dengan seramai 4325 peserta.
Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Sibu yang diadakan di Kompleks Islam Sibu telah disertai oleh pelbagai lapisan umur dari golongan kanak- kanak, pelajar sekolah, golongan dewasa sehinggalah warga emas.
Peserta mula berarak seawal 7 pagi dan diketuai oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I Datuk Dr Annuar Rapaee.
Salah seorang peserta perarakan, Husna Ismail berkata, perarakan Maulidur Rasul pada tahun ini masih boleh dianggap meriah walaupun terdapat penurunan jumlah penyertaan sekolah berbanding kebiasaannya.
“Saya berasa amat gembira dapat datang bersama keluarga pada hari ini kerana tidak berkesempatan untuk menyertai perarakan pada tahun lepas,” katanya lagi ketika ditemui pada Isnin.
Perarakan tersebut turut dihadiri oleh Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Mohammed Abdullah Izkandar Roseley, Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad dan Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili.
Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah dari pelbagai kategori kepada kontinjen yang terlibat.
SK Abang Ali membawa pulang gelaran Kontinjen Mega Terbaik manakala Selawat Keseluruhan Terbaik dimenangi oleh Kumpulan Sanyan.




