
KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan penambahan kemudahan sebanyak RM5 bilion di bawah skim Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menghadapi kesan krisis Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan berkata, penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kemudahan berkenaan meningkat kepada RM10 bilion.
Menurut beliau, perincian lanjut mengenai kemudahan tersebut akan diumumkan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dalam masa terdekat.
“(Kemudahan) ini untuk membantu memacu pertumbuhan dan sebagai pemangkin kepada syarikat yang memerlukan.
“Bantuan ini mesti membabitkan syarikat yang lebih kecil dan kelompok pertanian, pekebun kecil, nelayan serta penjaja yang mengendalikan warung dan restoran kecil,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan sesi meja bulat bersama 20 wakil institusi kewangan di sini, hari ini.
Turut hadir, Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa bersiap siaga dan bersedia memperkenalkan langkah baharu bagi memastikan kedudukan serta pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh meskipun berdepan cabaran luaran.
“Saya belajar daripada pengalaman krisis 90-an (dan) COVID-19 bahawa bantuan ini harus lebih teliti, menjurus dan tidak menyeluruh kerana hanya membantu kelompok yang terkesan daripada krisis ini dan tidak berbelanja luar daripada keupayaan kita.
“Oleh itu, mesti menyasarkan bantuan atau subsidi kepada kelompok yang hanya memerlukan. Cabaran utama kita (kerajaan) ialah menjamin keperluan termasuk minyak, gas dan baja itu mencukupi agar pertumbuhan tidak terbabas,” kata Anwar.
Beliau turut memaklumkan bahawa petunjuk makroekonomi negara pada suku pertama tahun ini menunjukkan prestasi memberangsangkan, dengan unjuran pertumbuhan ekonomi antara empat hingga lima peratus berdasarkan penilaian BNM, walaupun terkesan oleh krisis Asia Barat.
“Ini (pencapaian) membanggakan jika dibandingkan dengan negara lain,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata, nilai ringgit terus mencatatkan prestasi kukuh berbanding mata wang negara Asia lain, sekali gus menjadikannya antara yang terbaik di rantau ini bagi tempoh dua tahun berturut-turut.
Menurut beliau, pencapaian tersebut didorong oleh pengurusan kewangan negara yang berhemah serta peranan institusi perbankan, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sistem kewangan Malaysia.
Foto: Bernama




