KUALA LUMPUR – Iran menyatakan hasrat menarik diri pada saat akhir daripada menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan National Security Asia (NATSEC Asia) 2026.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penarikan diri negara itu kemungkinan disebabkan pelbagai cabaran dihadapi, khususnya melibatka logistik selain kesukaran pergerakan dan penghantaran produk susulan konflik perang di negara itu.
Menurut beliau, walaupun sebelum ini telah menyatakan kesediaan untuk mengambil bahagian, syarikat-syarikat Iran akhirnya menarik diri daripada penyertaan.
“Kita perlu faham dan terima bahawa mereka (Iran) mungkin berdepan kesukaran, dengan apa yang berlaku di Selat Hormuz buat masa ini.
“Keputusan tersebut bukan bersifat politik, sebaliknya berpunca daripada kekangan yang dihadapi Iran ketika ini yang memberi kesan kepada logistik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melihat persiapan akhir acara itu di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), pada Ahad.
Pameran DSA dan NATSEC Asia 2026 yang berlangsung dalam tempoh dua tahun dijangka bermula esok sehingga 23 April ini.
Dalam pada itu, ditanya sama ada kemungkinan penganjuran DSA 2026 akan turut membincangkan konflik yang berlaku Asia Barat dan rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran, Mohamed Khalid berkata, ia tidak sepatutnya dijadikan subjek perbincangan dalam forum pameran berkenaan.
Menurut beliau, DSA 2026 kekal sebagai platform neutral dan terbuka yang menghimpunkan pelbagai negara termasuk yang terlibat dalam konflik untuk mempamerkan aset dan produk masing-masing.
“Kita percaya semua negara mahu melihat keamanan dapat dicapai dan konflik dapat ditamatkan secepat mungkin. Namun, kita tidak menjadikan perkara ini sebagai agenda rasmi kerana ia mungkin menjejaskan proses rundingan yang sedang berlangsung antara kedua-dua negara.
“Apa yang kita harapkan ialah semua pihak terlibat, khususnya Amerika Syarikat dan Iran, dapat mencapai penyelesaian secara aman,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, isu konflik tetap dibincangkan secara tidak rasmi dalam pertemuan dua hala antara pemimpin pertahanan.
“Dalam pertemuan dua hala atau tertutup antara menteri, timbalan menteri dan kepimpinan angkatan tentera, perkara ini tidak boleh dielakkan.
“Selain keinginan melihat keamanan, kita juga menilai bagaimana konflik semasa dilaksanakan dan sejauh mana pendekatan pertahanan sedia ada masih relevan dalam era teknologi baharu,” katanya.
Mengulas kebimbangan kemungkinan situasi di Selat Hormuz berulang di rantau ini, Mohamed Khaled menegaskan Selat Melaka tidak akan mengalami keadaan sama.
“Apa yang berlaku di Hormuz bukan sesuatu yang perlu dicontohi dan kita akan pastikan ia tidak berulang di Selat Melaka.
“Malaysia, Indonesia dan Singapura adalah negara yang mematuhi undang undang antarabangsa serta menjunjung prinsip kebebasan pelayaran dan perdagangan, jadi tidak wajar menyamakan kedua dua laluan ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, konflik semasa turut memberi pengajaran kepada negara mengenai perubahan landskap peperangan moden.
“Kita lihat banyak teknologi baharu namun untuk berdepan cabaran negara yang mempunyai aset canggih, keupayaan menghasilkan aset dengan cepat dan kos rendah juga penting.
“Kita tidak semestinya melawan pesawat dengan pesawat, sebaliknya penggunaan dron, roket dan peluru berpandu dalam jumlah besar menjadi antara pendekatan yang dilihat lebih berkesan,” katanya.
Beliau turut menegaskan, penyertaan syarikat dari pelbagai negara dalam DSA tidak bercanggah dengan pendirian Malaysia walaupun ada pihak membangkitkan isu berkait konflik global.
“Ini adalah pameran perdagangan dan platform berkecuali. Kita menghormati pandangan semua pihak, namun acara ini memberi peluang kepada kita menilai dan membuat keputusan berdasarkan keperluan negara.
“Pada akhirnya, kita mungkin menjadi pembeli dan platform ini membolehkan kita membandingkan serta menilai produk yang ada,” katanya.





